Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Media sosial utama dunia sekat, padam video serangan pengganasan Christchurch

Media sosial utama dunia termasuk Facebook, Google dan Twitter sedang menggiatkan usaha untuk memadam dan menyekat rakaman video serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Xinhua hari ini (16 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Media sosial utama dunia sekat, padam video serangan pengganasan Christchurch

Orang awam di luar Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand menyusuli serangan pengganas pada 15 Mac 2019. (Gambar: Martin Hunter/Reuters)

Diterbitkan : 16 Mar 2019 02:07PM Dikemas Kini : 16 Mar 2019 02:13PM

SAN FRANCISCO: Media sosial utama dunia termasuk Facebook, Google dan Twitter sedang menggiatkan usaha untuk memadam dan menyekat rakaman video serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Xinhua hari ini (16 Mac).

Serangan di dua masjid yang dipenuhi para jemaah pada Jumaat (15 Mac) itu meragut nyawa 49 orang dan mencederakan 48 yang lain.

Salah seorang daripada penyerang itu dipercayai membuat siaran langsung di Facebook, menunjukkan seorang lelaki bersenjata berkenaan melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap para jemaah yang berada di dalam masjid tersebut.

Wakil pejabat Facebook New Zealand, Mia Garlick, berkata dalam satu kenyataan kepada media BuzzFeed bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menyekat serta memadam semua rakaman kejadian.

Akaun milik penyerang di Facebook juga sudah dipadamkan.

Twitter turut menarik balik video asal dan menggantung akaun yang berkongsi rakaman itu di platformnya, kerana pengguna itu melanggar dasar yang melarang kandungan mempunyai unsur kebencian atau keganasan.

Jurucakap Twitter dalam satu kenyataan berkata "pihaknya sudah menugaskan kakitangan untuk menguruskan keadaan yang mendesak dan cemas seperti itu."

YouTube juga mengambil langkah sama.

"Kandungan berunsur ganas tidak mempunyai tempat di platform kami, dan akan dikeluarkan sebaik kami menyedarinya," menurut YouTube menerusi catatan di Twitternya.

APAKAH REAKSI ORANG RAMAI?

Meskipun sejumlah besar orang didapati menduplikasi dan mengongsi rakaman video itu secara online, ramai lagi pengguna media sosial mengecam perbuatan sedemikian dan menggesa orang ramai supaya jangan mengongsi rakaman video itu, malah untuk tidak menontonnya.

Ramai berkata, perbuatan menyebarkan video itu adalah sesuatu yang memang dikehendaki oleh pengganas tersebut.

Dalam laman Twitternya, Pengasas Institut Yaqeen bagi Kajian Islam di Amerika Syarikat, Omar Suleiman, menulis: "Tolong jangan sebarkan video pengganas itu menyerang saudara-saudara kita. Itulah yang dia mahukan."

Wartawan Buzzfeed Mark Di Stefano menulis bahawa laman MailOnline membolehkan para pembaca untuk memuat turun 'manifesto' setebal 74 muka surat terbitan pengganas itu daripada laporan beritanya, lapor BBC.

Namun MailOnline kemudian memadamkan dokumen tersebut dan mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan bahawa ia adalah "satu kesilapan".

BBC juga menukil editor Daily Mirror Lloyd Embley sebagai mengatakan bahawa mereka sudahpun memadamkan rakaman video tersebut. Encik Embley menambah, dalam catatan Twitternya, bahawa perbuatan menerbitkan rakaman video itu "tidak sejajar dengan dasar-dasarnya berhubung video propaganda pengganas".

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan