Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

McDonald’s M’sia tolak dakwaan kaitan dengan Israel

McDonald’s Malaysia menyatakan bahawa ia “kecewa” dengan gesaan-gesaan baru supaya diboikot rangkaian restoran makanan segera itu selepas Amerika mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
McDonald’s M’sia tolak dakwaan kaitan dengan Israel

Gambar fail sebuah cawangan McDonald's Malaysia. (Gambar: JIMIN LAI/AFP)

Diterbitkan : 10 Dec 2017 09:56AM Dikemas Kini : 10 Dec 2017 10:00AM

KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia menyatakan bahawa ia “kecewa” dengan gesaan-gesaan baru supaya diboikot rangkaian restoran makanan segera itu selepas Amerika mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, McDonald’s menyatakan dakwaan yang disebarkan melalui aplikasi pesanan dan media sosial bahawa ia menyalurkan dana kepada Israel “tidak benar, salah, palsu dan fitnah”.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami kekecewaan yang dirasakan orang Muslim di seluruh dunia tentang perkara ini,” menurut kenyataan yang ditulis Azmir Jaafar, pengarah urusan dan rakan operasi McDonald’s Malaysia.

“Penting bagi semua orang untuk mengetahui bahawa perusahaan McDonald’s di Malaysia dijalankan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dan syarikat ini 100 peratus dimiliki rakyat tempatan dan pemegang saham terbesarnya adalah orang Muslim.

“Kami tidak menyokong ataupun terlibat dalam apa jua konflik politik ataupun agama di sebarang negara di dunia.”

Encik Azmir menambah bahawa McDonald’s tidak teragu-ragu untuk “mengambil tindakan” terhadap “mana-mana jua pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah menerusi media sosial dan wadah-wadah lain”.

Sebelum ini, McDonald’s Malaysia pernah menghadapi boikot. Pada 2014, terdapat bantahan daripada kumpulan-kumpulan Muslim di luar beberapa cawangannya menyusuli dakwaan bahawa ia mempunyai hubungan dengan Israel. Cawangan-cawangan yang terjejas melaporkan kehilangan 80 peratus hasil pendapatannya ketika itu.

Dalam bahagian komen catatan Facebook itu, beberapa pengguna menarik perhatian kepada persamaan nama McDonald’s dengan nama Presiden Amerika Syarikat dengan salah seorang daripadanya menulis, “nama Donald (Trump) terang-terang terkandung (dalam McDonald’s)”.

Ada pula yang kelihatan tidak mengendahkan dakwaan hubungan McDonald’s dengan Israel. Salah seorang membalas dengan bertanya: “Bagi anda yang mengajukan komen menggunakan Facebook, siapa yang anda rasa memiliki Facebook?”. Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg berbangsa Yahudi.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan