Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

McDonald's bantu pekerja M'sia di S'pura raikan Ramadan dengan keluarga tersayang di seberang

Demi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura menyambut Ramadan dengan orang yang tersayang di kampung halaman, McDonald's Singapore akan membantu menghubungkan mereka dengan keluarga di Malaysia melalui kempen baru My Happy Table.

Anggaran Waktu Membaca:
McDonald's bantu pekerja M'sia di S'pura raikan Ramadan dengan keluarga tersayang di seberang

(Gambar: Facebook/McDonald's Singapura)

Diterbitkan : 20 Apr 2021 12:12AM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 12:28AM

SINGAPURA: Demi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura menyambut Ramadan dengan orang yang tersayang di kampung halaman, McDonald's Singapore akan membantu menghubungkan mereka dengan keluarga di Malaysia melalui kempen baru My Happy Table.

"Adakah anda (atau sesiapa yang anda kenali) mempunyai keluarga di Johor Bahru yang anda rindukan untuk menyambut Ramadan bersama? My Happy Table akan menghubungkan lebih ramai umat Islam dengan keluarga mereka di rumah,” tulis McDonald's Singapore di laman Facebook rasminya pada Isnin (19 Apr).

Untuk menyertainya, rakyat Malaysia yang berminat boleh kongsi kisah mereka di ruang komen di catatan itu, menurut penyedia makanan dan minuman berkenaan.

McDonald's Singapore yang mempunyai rangkaian lebih 130 restoran makanan segera di seluruh pulau ini menyatakan bahawa catatan yang paling menyayat hati akan menikmati My Happy Table dengan makanan McDonald's percuma di kedua-dua belah sempadan.

Syarikat itu menyatakan bahawa anggota keluarga Muslim Malaysia yang terpilih perlu mengunjungi restorannya di Canberra, Singapura dan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, Malaysia semasa slot diperuntukkan kepada mereka - 7.30 malam hingga 8.40 malam; 9.00 malam hingga 10.00 malam; atau 10.30 malam hingga 11.30 malam antara 23 hingga 28 April.

Sebagai sebahagian promosi untuk kempen ini, McDonald's pada 16 April telah menerbitkan filem mengenai sebilangan warga Malaysia yang bekerja di McDonald's Singapore yang tidak akan dapat menyambut Ramadan bersama keluarga mereka di Malaysia.

"Ikuti kisah Samsuri untuk mengetahui bagaimana Semangat Ramadan itu lebih kuat daripada sempadan yang memisahkan kita," tulisnya.

Filem tersebut boleh ditonton di pautan http://bit.ly/McDonaldsMHT dan telah dikongsi secara meluas di media sosial.

Ia sehingga membuat sebilangan penonton menitiskan air mata.

Aturan perjalanan antara Malaysia-Singapura ditangguhkan sejak awal Februari selama tiga bulan kerana kemunculan semula kes koronavirus di merata dunia, menyebabkan ramai rakyat Malaysia terkandas di Singapura.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan