MCA persoal Mahathir tidak kaji perjanjian air dengan S'pura dulu
Jurucakap parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) mempersoalkan sebab Dr Mahathir tidak menyemak semula perjanjian air M'sia dengan S'pura semasa menjadi perdana menteri buat kali pertama dahulu.
MALAYSIA: Jurucakap publisiti parti Persatuan Cina Malaysia (MCA), Ti Lian Ker mempersoalkan sebab Dr Mahathir Mohamad tidak menyemak semula syarat-syarat perjanjian air Malaysia dengan Singapura semasa menjadi perdana menteri buat kali pertama dahulu.
Menurut laporan Malaysiakini, Encik Ti memaklumkan perjanjian itu dibenarkan untuk disemak semula di antara tahun 1986 hingga 1987.
"Terdapat peluang yang mencukupi bagi Malaysia untuk mengkaji semula perjanjian air semasa tempoh Mahathir (menjadi PM) pada tahun 1986 dan 1987, tetapi ia tidak dapat difahami mengapa beliau tidak melakukannya," kata Ti seperti dinukil Malaysiakini.
Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama ChannelNews Asia pada Isnin (25 Jun) berkata penjualan air mentah ke Singapura pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen sebagai "tidak masuk akal" .
Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1960-an itu menghendaki Singapura pula menjual air yang dirawat kepada Malaysia pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata kajian semula air itu tidak menjadi keutamaan pentadbirannya pada masa ini dan beliau hanya mengulas isu berkenaan kerana ditanya mengenai perkara itu semasa wawancara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.