Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

MB Selangor gesa dalang dan pihak terlibat video berkait menteri dikenakan tindakan

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari berkata, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
MB Selangor gesa dalang dan pihak terlibat video berkait menteri dikenakan tindakan

Petikan skrin dari video Facebook Haziq Aziz.

Diterbitkan : 19 Jul 2019 01:19PM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 01:22PM

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari berkata, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang. Komen itu dibuat berhubung kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video seks berkaitan seorang menteri.

Encik Amirudin berkata dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan.

"Bagaimanapun, keadilan juga harus diberikan kepada dia (yang dituduh) peluang untuk membela diri dan sebagainya jika dia percaya dia tidak melakukan kesalahan," kata Menteri Besar Selangor itu hari ini (19 Jul).

Pada Khamis (18 Jul), Encik Abdul Hamid dilaporkan berkata hasil siasatan polis terhadap kes video seks berkenaan mendapati wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu

Ketika ditanya mengenai hasil proses pengecaman wajah terhadap individu dalam video itu adalah negatif, Encik Amirudin berkata beliau bersyukur berikutan isu itu sudah terlerai.

"Alhamdulillah, semua dah terlerai, dan jangan kita sambung cerita macam ini, we should move on (kita perlu bergerak) ke hadapan," katanya.

Encik Amirudin menambah bahawa mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan ketinggalan zaman kerana rakyat sudah lama menolak perbuatan politik kotor sedemikian.

Encik Abdul Hamid turut berkata hasil analisis CyberSecurity Malaysia terhadap video seks berkenaan mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi.

Bagaimanapun, hasil proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki yang tular di media sosial.

Pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini, lapan orang termasuk Haziq Abdullah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan