Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Mayat warga emas ditemui terapung dalam longkang

TELUK INTAN: Misteri kehilangan seorang warga emas berusia 87 tahun sejak dua hari lepas terungkai selepas orang awam menemui mayatnya terapung dalam longkang sawah di Parit 8, Chikus, Ahad petang (10 Feb).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata Hamidah Hussin dari Kampung Sungai Tukang Sidin, Langkap, pada mulanya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Parit 8 sekitar pukul 7.00 malam Sabtu lalu.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang wanita oleh orang awam di longkang sawah itu pada kira-kira pukul 7.40 petang semalam, dan warga emas itu memang diketahui mempunyai penyakit nyanyuk.

"Siasatan mendapati (mayat) si mati tersangkut pada batu longkang sedalam satu meter dalam keadaan air yang deras, di lokasi kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan keluar rumah pada hari Sabtu lepas. Tiada sebarang perbuatan jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mayat warga emas itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

- BERNAMA/TQ/na

Top