Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mayat wanita S'pura yang hilang ketika berkayak ditemui di perairan Terengganu

Mayat wanita yang dipercayai salah seorang daripada dua warga Singapura yang dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, Mersing, pada Khamis lepas (8 Ogos) ditemui di perairan Kemaman, Terengganu, tengah hari tadi (14 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Aug 2019 06:29PM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 10:26PM

MERSING: Mayat wanita yang dipercayai salah seorang daripada dua warga Singapura yang dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, Mersing, pada Khamis lepas (8 Ogos) ditemui di perairan Kemaman, Terengganu, tengah hari tadi (14 Ogos).

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata mayat yang lengkap berpakaian dan memakai jaket keselamatan itu ditemui terapung pada sekitar 12.50 tengah hari di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman oleh nelayan tempatan.

"Mayat kemudian disahkan tiba di Maritim Malaysia Zon Kemaman pada 4.30 petang dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk pengecaman keluarga serta bedah siasat," kata Encik Haris Fadzillah kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat yang diwujudkan di Jeti Penyabong, Endau.

Encik Haris Fadzillah berkata tempat mayat ditemui adalah 18 batu nautika dari kayak milik dua warga Singapura, yang dijumpai semalam. Ia adalah 100 batu nautika dari lokasi terakhir dua warga Singapura berkenaan - iaitu lelaki, Tan Eng Soon, 62 tahun, dan wanita, Puah Geok Tin, 57 tahun - dilapor hilang pada Khamis lalu.

Beliau berkata waris yang berada di Pangkalan Hadapan Carilamat sudah dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu dan akan ke Kemaman pada Rabu untuk membuat pengecaman.

Berikutan penemuan mayat berkenaan, Encik Haris Fadzillah berkata sektor pencarian menggunakan aset udara oleh agensi penyelamat kini diperluaskan sekitar 600 batu nautika persegi perairan Kuantan, Pahang, sehingga ke Kerteh, Terengganu.

"Dengan penemuan terbaharu itu juga, buat masa ini, pencarian di pulau-pulau sekitar perairan Endau dihentikan sementara kerana kita sudah melakukan pencarian di kawasan berkenaan," jelasnya.

Khamis lalu, Tan dan Puah dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak yang mereka naiki terpisah daripada 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dengan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan tersebut berikutan laut bergelora dan angin kencang. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan