Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mayat tragedi tanah runtuh dihantar pulang

Konsul Kehormat Bangladesh akan meneruskan usaha untuk mendapatkan pampasan daripada pihak berkuasa berkaitan selepas kesemua mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang dihantar pulang ke negara asal.

Anggaran Waktu Membaca:
Mayat tragedi tanah runtuh dihantar pulang

Hossain Mohammad Ripon menunjukkan gambar adiknya, Mithu Hossain, yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Oct 2018 10:53AM Dikemas Kini : 24 Oct 2018 10:58AM

GEORGE TOWN: Konsul Kehormat Bangladesh akan meneruskan usaha untuk mendapatkan pampasan daripada pihak berkuasa berkaitan selepas kesemua mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang dihantar pulang ke negara asal.

Shaik Ismail Allaudin berkata keutamaannya sekarang adalah menghantar pulang kesemua jenazah warga Bangladesh kerana buat masa ini, terdapat lima mayat rakyat negara berkenaan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, dan empat sudah dikenal pasti.

“Tekanan daripada keluarga adalah sangat tinggi agar mayat mangsa di hantar pulang, jadi keutamaan saya ialah menghantar jenazah ini pulang ke Bangladesh, sebelum saya meneruskan perkara dengan pihak berkuasa berkaitan berhubung pampasan mereka,” kata Encik Shaik Ismail ketika dihubungi agensi berita Bernama pada Selasa (23 Okt).

Beliau berkata pejabat konsulat berkenaan kini bertanggungjawab menuntut kesemua lima mayat warga Bangladesh dan satu daripada mayat itu sudah memperolehi semua pelepasan yang diperlukan untuk dihantar pulang.

Encik Shaik Ismail berkata jenazah Mithu Hossain, 30 tahun, akan dihantar pulang ke Bangladesh hari ini (24 Okt), dengan ditemani abang mangsa, Hossain Mohamad Ripon, 32 tahun.

“Kita sudah membuat urusan agar jenazah Mithu dihantar pulang esok, manakala empat lagi mayat, kita perlu selesaikan SOP (prosedur operasi standard) dengan pihak hospital dan polis sebelum jenazah mereka dibenarkan untuk dituntut dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata mayat yang ditemui pada Isnin lalu (22 Okt) masih belum dikenal pasti kerana butirannya tidak dapat dikesan.

“Kita masih tidak dapat memaklumkan kepada anggota keluarga mangsa yang dipercayai Mohamad Uzzal kerana kita masih cuba mengesan dan mencari pasportnya,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus pada 1.56 tengah hari Jumaat lalu (19 Okt) itu menimbus 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja projek. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan