Images
  • conception
    Bot Conception mungkin terbakar akibat alat eletronik yang dicas di ruang tidur. (Gambar fail: Kyle Grillot/Reuters)  

Mayat terakhir nahas bot California ditemui; amaran bateri litium dikeluarkan

LOS ANGELES: Para penyelam Amerika Syarikat pada Rabu (11 Sep) berjaya menemui mayat mangsa terakhir yang terbunuh dalam nahas bot penyelaman di California.

Ini sedang Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat mengeluarkan satu buletin keselamatan yang memberi tumpuan kepada laluan-laluan keluar kecemasan, latihan bagi para anak kapal dan perbuatan mengecas bateri litium.

Nahas itu meragut nyawa seramai 34 orang.

Bot Conception terbakar pada sekitar 3.15 pagi pada 2 September, lalu karam di luar perairan Pulau Santa Cruz. Hanya lima anak kapal dapat menyelamatkan diri.

Usaha mencari mayat terakhir tertangguh akibat keadaan cuaca yang merumitkan operasi tersebut.

"Ujian DNA masih lagi dijalankan bagi mengesahkan identiti tujuh daripada 34 mangsa yang sudah ditemui," menurut Pejabat Syerif Santa Barbara County menerusi catatan di Twitter.

Dua rakyat Singapura - Tan Wei, 26 tahun, dan Dr Sunil Singh Sandhu, 46 tahun - dipercayai berada di dalam bot Conception semasa nahas itu berlaku.

Cik Tan disahkan sebagai salah seorang mangsa manakala Dr Sunil dipercayai adalah antara para mangsa.

Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat tidak mengenal pasti punca kebakaran dalam buletin keselamatannya.

Buat masa ini, insiden berkenaan masih disiasat oleh beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan dan persekutuan.

Bagaimanapun, dokumen-dokumen memberi bayangan bahawa para penyiasat akan menyiasat kemungkinan kebakaran itu disebabkan oleh para penumpang yang mengecas alat-alat elektronik di ruang tidur, yang terletak di bahagian bawah bot tersebut.

Para mangsa dipercayai tidak berupaya melarikan diri akibat api yang marak di ruang sempit.

"Sebuah Lembaga Siasatan Marin Pengawal Pantai (MBI) sudah ditubuhkan dan ia akan menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan insiden tragik ini," menurut buletin tersebut.

Kesemua mangsa dipercayai maut akibat terhidup asap kebakaran.

- Reuters/AI/ai

Top