Images
  • family
    Mayat mangsa serangan pengganas Christchurch mula diserahkan kepada keluarga. (Gambar: Jorge Silva/Reuters)

Mayat mangsa serangan pengganas Christchurch mula diserahkan kepada keluarga

CHRISTCHURCH: Mayat mangsa-mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat (15 Mac) akan mula diserahkan kepada keluarga mereka pada malam ini (17 Mac).

Persiapan bagi pengebumian mangsa-mangsa serangan pengganas itu sedang dilakukan di tanah perkuburan Memorial Park.

Jumlah mangsa yang terbunuh dalam serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood itu sudah bertambah menjadi 50 orang, selepas polis menemui satu lagi mayat di dalam salah sebuah masjid tersebut.

Berdasarkan senarai nama yang diedarkan pihak keluarga, mangsa-mangsa serangan itu berusia antara tiga hingga 77 tahun, dan termasuk rakyat beberapa negara.

Kesemua 50 mayat dijangka selesai diserahkan kepada pihak keluarga menjelang Rabu (20 Mac).

Menurut pihak berkuasa New Zealand, ia sedang berusaha untuk menyerahkan mayat-mayat itu kepada pihak keluarga secepat mungkin kerana peka tentang tuntutan agama mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata kabinet beliau akan mengadakan mesyuarat pada Isnin (18 Mac) bagi membincangkan pelbagai dasar. Ia termasuk meminda undang-undang senjata api serta soal senarai pemantauan pengganasan dan bagaimana untuk memastikan keselamatan orang awam.

Parlimen New Zealand pula akan mengadakan satu upacara pada Selasa (19 Mac) bagi memperingati para mangsa serangan pengganas itu. 

- AFP/AI/ai

Top