Images
  • baby generic
    (Gambar hiasan: Janko Ferlič/Unsplash)

Mayat bayi masih bertali pusat ditemui di pintu musollah masjid

MELAKA: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berbalut dengan kain putih ditemui oleh orang awam di dalam Masjid Asy Syakirin di Pasir Puteh, Bachang, pada awal Selasa (16 Apr).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata bayi berkenaan, yang mempunyai kesan darah pada hidung serta lebam di muka dan hidung, ditemui kira-kira jam 5.40 pagi.

"Balai Polis Malim menerima panggilan daripada orang awam tentang penemuan mayat bayi lelaki itu di dalam masjid berkenaan kira-kira pukul 6.45 pagi sebelum ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Jangka masa kematian bayi adalah lebih kurang dua jam berdasarkan keadaan mayat berukuran satu kaki enam inci itu yang masih baharu dan belum mengeras," katanya dalam satu kenyataan.

Seorang jemaah wanita masjid tersebut, Zainon Baba, pula berkata beliau tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 5.30 pagi sebelum terpandang satu bungkusan berbalut kain putih terletak di pintu masuk ruang solat jemaah wanita sebaik sahaja melangkah masuk bahagian itu.

Pada awalnya, Cik Zainon tidak mengesyaki apa-apa dan menyangka balutan itu hanyalah lipatan telekung lalu beliau bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh berjemaah.

"Selepas solat, saya dengan jemaah wanita yang lain berasa tidak sedap hati sebelum memaklum kepada jemaah lelaki. Mereka bersama imam memeriksanya dan terkejut apabila mendapati bungkusan itu ialah seorang bayi yang tidak bersuara dan terus memaklumkan kepada pihak polis," kata Cik Zainon.

Sementara itu, Afzanizar berkata polis menahan seorang wanita dipercayai ibu bayi itu sekitar pukul 2.00 petang pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Menurut Afzanizar, wanita berusia 20 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Pasir Puteh, Bachang, dan bayi berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia sebelum diletakkan di masjid tersebut.

- BERNAMA/FZ/fz

Top