Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Mayat 2 warga asing dijumpai dalam rumah sewa

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya warga asing ditemuI dalam keadaan tergantung dan berlumuran darah di rumah sewa mereka di Banting Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata, mayat lelaki yang dipercayai warga India ditemui tergantung di dalam rumah berkenaan manakala mayat wanita dipercayai warga Indonesia ditemui berlumuran darah terbaring di atas tilam di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan yang terletak di Jalan Kampung Tali Air.

"Mayat kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40an ditemui kira-kira jam 5.20 petang semalam (9 Jul) oleh pemilik rumah sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

"Siasatan awal kami (Polis) mendapati, mayat wanita itu mempunyai kesan luka akibat hentakan di bahagian dahi dan pipi dipercayai dipukul dengan batang besi yang ditemui di sebelah mayat berkenaan dan kesan jerut di leher," katanya dalam satu kenyataan hari ini (10 Jul).

Tambah Supt Azizan kedua-dua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut tidak menemui tiada kesan suntikan bacille calmette-guerin (BCG) pada lengan mangsa.

Menurut Supt Azizan, pemeriksaan di sekitar rumah turut dapati tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk dan pintu depan rumah itu dikunci dari dalam.

"Lelaki itu menyewa rumah tersebut sejak sebulan lepas dan status hubungan kedua-dua mereka masih sedang disiasat... siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif selain mengesan saksi kejadian," katanya.

Menurut Supt Azizan lagi mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

- BERNAMA/NA/na

Top