Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mayat 2 kru kapal dagang MV Amanda ditemui

Dua mayat anak kapal dagang MV Amanda yang terbalik dan karam di perairan timur Tanjung Sepang di Kota Tinggi pada petang semalam (25 Dis) sudah ditemui pada malam tadi, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Anggaran Waktu Membaca:
Mayat 2 kru kapal dagang MV Amanda ditemui

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, sedang menunjukkan lokasi kapal dan operasi SAR kepada media. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Dec 2018 11:44AM Dikemas Kini : 26 Dec 2018 11:48AM

KOTA TINGGI: Dua mayat anak kapal dagang MV Amanda yang terbalik dan karam di perairan timur Tanjung Sepang di Kota Tinggi pada petang semalam (25 Dis) sudah ditemui pada malam tadi, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, berkata mayat kedua-dua lelaki berkenaan ditemui pada pukul 7.45 malam, yang timbul di permukaan air sejurus selepas kapal dagang yang membawa muatan batu itu tenggelam sepenuhnya.

Kedua-dua lelaki itu merupakan seorang warga Bangladesh dan seorang warga China.

Menurut Encik Aminuddin, pihaknya sedang meneruskan operasi Carilamat (SAR) seluas 40 batu nautika daripada lokasi kapal berkenaan terbalik. Ini bagi mencari seorang lagi anak kapal warga Bangladesh, juga seorang lelaki, yang masih belum ditemui.

"Kita akan memfokuskan pencarian di kawasan permukaan dan dasar laut. Pasukan selam juga telah diletakkan bersiap siaga bagi melakukan selaman di mana ada kemungkinan mangsa masih terperangkap," katanya kepada para wartawan semasa sidang media di Pos Maritim di Tanjung Pengelih di Kota Tinggi hari ini (26 Dis).

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.00 petang semalam (25 Dis), kapal tersebut yang membawa sembilan anak kapal, kesemuanya warga asing, mengalami kerosakan pada janakuasa sehingga menyebabkan alat pengemudi kapal tidak dapat berfungsi.

Ketika cuba membuat undur penuh, ombak menolak kapal berkenaan menyebabkan ia bertembung dengan kapal lain, lalu terbalik dan karam.

Bagaimanapun, enam anak kapal lelaki iaitu lima warga Bangladesh dan seorang warga China terselamat manakala tiga lagi dilaporkan hilang.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan