Images
  • kaabah
    Gambar fail para jemaah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah. (Gambar: REUTERS)

Matahari duduk tepat atas Kaabah pada 16 Jul; boleh semak arah kiblat

KUALA LUMPUR: Kedudukan matahari akan berada tepat di atas Kaabah pada Selasa (16 Jul) ekoran sebuah fenomena unik yang berlaku hanya dua kali setahun. Lantaran itu, umat Islam sedunia termasuk Malaysia boleh membuat semakan untuk mengesahkan arah kiblat di negeri masing-masing esok.

Planetarium Negara Malaysia menyatakan penentuan arah kiblat boleh dilakukan dengan memerhati bayang-bayang matahari yang dihasilkan oleh objek tegak tepat pada pukul 5.27 petang waktu tempatan.

“Orang ramai hanya perlu mencari objek tegak seperti dinding bangunan, tiang elektrik dan rangka tingkap yang tegak atau menggantung objek berat dengan talinya yang menegak menghasilkan bayang-bayang yang menghala arah Kaabah.

“Fenomena ini berlaku sebanyak dua kali dalam setahun iaitu pada setiap 28 Mei dan 16 Julai dan bayang-bayang yang terhasil bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” menurut kenyataan pertubuhan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyaksikan fenomena gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada Rabu (17 Jul) bermula pukul 4.01 pagi hingga 6.59 pagi waktu Malaysia.

“Gerhana pada kali ini akan mencapai peringkat maksimum pada pukul 5.30 pagi yang mana pada waktu itu, hampir separuh permukaan bulan akan dilindungi oleh umbra (bayang-bayang) bumi,” jelas kenyataan tersebut lagi.

Justeru, Planetarium Negara akan dibuka kepada orang awam bermula jam 2.00 pagi pada Rabu dan bakal menyediakan beberapa teleskop bagi memudahkan orang ramai menyaksikan fenomena itu.  

Sesi pencerapan planet Zuhal dan Musytari akan turut diadakan di hadapan pintu masuk utama Planetarium Negara bermula seawal 2.00 pagi. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top