Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat Islam Turki di Jerman anjur bantahan sokong Uighur

Islamic Community National View (IGMG), satu daripada pertubuhan terbesar Islam-Turki di Jerman, merancang mengadakan bantahan awal bulan depan berhubung isu layanan China terhadap masyarakat Uighur, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan pengerusi IGMG.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam Turki di Jerman anjur bantahan sokong Uighur

Gambar fail bantahan di Urumqi, di hadapan bandar konsulat China di Istanbul. (Gambar: Ozan Kose/AFP)

Diterbitkan : 31 Jan 2019 12:42PM Dikemas Kini : 31 Jan 2019 12:51PM

COLOGNE: Islamic Community National View (IGMG), satu daripada pertubuhan terbesar Islam-Turki di Jerman, merancang mengadakan bantahan awal bulan depan berhubung isu layanan China terhadap masyarakat Uighur, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan pengerusi IGMG.

Menurut Pengerusi IGMG, Encik Kemal Ergun, pertubuhan itu akan mengadakan bantahan pada 2 Feb di 20 bandar dalam 13 negara dengan membaca satu kenyataan di depan kedutaan dan konsulat China.

Kumpulan itu dijangka membantah dasar China yang menjejas kehidupan masyarakat Uighur di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang - juga dirujuk sebagai Turkistan Timur - dan melahirkan solidariti bersama mereka, tambah Encik Ergun.

Dalam satu kenyataan bertulis, beliau berkata China mencabul undang-undang hak asasi manusia antarabangsa apabila memaksa masyarakat Uighur meninggalkan agama dan budaya mereka, selain memisahkan anggota keluarga etnik itu di kem latihan.

“Masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan terhadap penindasan yang dilakukan oleh China. Hak asasi manusia tidak boleh dikorbankan demi menjaga hubungan ekonomi,” kata Encik Ergun yang melahirkan kekecewaan terhadap sikap masyarakat antarabangsa yang mendiamkan diri dalam isu itu.

Dalam mesyuarat pada Ogos lalu di Geneva, Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum berkata anggota masyarakat Uighur di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang yang didakwa memiliki “pandangan keagamaan yang utuh" dan idea “politik yang salah” dipenjarakan atau ditahan di "kem pendidikan semula" politik.

Wakil badan PBB itu berkata sehingga 3 juta orang ditahan tanpa perbicaraan.

Badan pemantau Human Rights Watch sebelum ini mengumumkan bahawa pemerintah China menjalankan satu kempen besar-besaran secara sistematik dalam melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat Islam di Xinjiang.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan