Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat Islam Sri Lanka solat di masjid-masjid rosak

Masyarakat Islam minoriti di Sri Lanka mendirikan solat Jumaat dikawal oleh anggota tentera dan polis di sekeliling semua masjid, termasuk masjid yang rosak teruk akibat rusuhan yang menyusuli serangan pengganas Easter.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam Sri Lanka solat di masjid-masjid rosak

Masyarakat Islam di Sri Lanka solat di masjid-masjid yang dirosakkan ekoran rusuhan selepas serangan Hari Easter (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 May 2019 10:27PM Dikemas Kini : 17 May 2019 11:41PM

COLOMBO: Masyarakat Islam minoriti di Sri Lanka mendirikan solat Jumaat dikawal oleh anggota tentera dan polis di sekeliling semua masjid, termasuk masjid yang rosak teruk akibat rusuhan yang menyusuli serangan pengganas Easter.

Polis menyatakan kawalan keselamatan akan kekal diperketat pada hujung minggu ini sedang para penganut agama Buddha menyambut Hari Vesak dan negara itu menandakan genap 10 tahun berakhirnya peperangan dengan pemisah Tamil.

Para pemimpin agama berkata beberapa masjid yang rosak sudah dibersihkan daripada serpihan dan jemaah hadir berduyun-duyun.

"Kami menerima kira-kira 450 hingga 500 jemaah," kata Encik M. I. M. Siddeeque kepada AFP menerusi panggilan telefon. Beliau ialah pemegang amanah masjid di Kinyama, wilayah Barat Laut yang paling teruk terjejas oleh rusuhan.

"Ada enam askar di luar masjid dan ramai lagi anggota polis di pangkal jalan raya."

Encik Siddeeque berkata masjidnya sudah dibersihkan daripada serpihan tetapi tingkap, perabot dan sistem pembesar suara masih belum digantikan.

Di bandar Minuwangoda, jemaah memenuhi tingkat satu masjid dua tingkat Hujjaj untuk bersolat meskipun kerja-kerja pembaikan masih belum dimulakan.

Menurut para penduduk tempatan, penganut Buddha dan Katolik turut hadir sebagai tanda perpaduan dengan masyarakat Islam.

Polis menyatakan tiada insiden besar berlaku meskipun beberapa ketegangan dilaporkan sekali-sekala di beberapa tempat.

"Polis dapat mengawal keadaan dan ia cepat kembali seperti biasa," kata seorang pegawai kanan polis kepada AFP. Perintah berkurung pada waktu malam ditarik balik pada Khamis.

Rusuhan tercetus tiga minggu selepas serangan bom nekad di tiga gereja dan tiga hotel mewah di Colombo, yang meragut 258 nyawa. Serangan pada 21 April dipercaya didalangi oleh kumpulan pengganas tempatan.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan