Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masjid, kawasan Kampung Laut Kelantan bakal diiktiraf tapak warisan dunia UNESCO

Masjid Kampung Laut berusia lebih 300 tahun dan pembangunan Kampung Laut bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid, kawasan Kampung Laut Kelantan bakal diiktiraf tapak warisan dunia UNESCO

Laman Warisan Kampung Laut, Tumat, Kelantan. (Gambar: Facebook/East Coast Economic Region Development Council menerusi BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 07:26AM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 07:30AM

KELANTAN: Masjid Kampung Laut berusia lebih 300 tahun dan pembangunan Kampung Laut bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam satu kenyataan pada Jumaat (15 Okt) menyatakan bahawa pencalonan itu merupakan perancangan jangka panjang bertujuan menjadikan Kampung Laut sebagai pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan.

Projek pembangunan semula kampung berkenaan dilaksanakan di bawah ECERDC bertujuan menjana ekonomi menerusi aktiviti pelancongan, membantupenduduk tempatan meneruskan aktiviti ekonomi lain yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sekali gus menjana semula pertumbuhan sosioekonomi di kawasan sekitar.

Pengurus Besar Pejabat ECERDC Kelantan Wan Mohd Hasnan Abdullah menerusi kenyataan itu berkata keistimewaan projek tersebut adalah ia merupakan pembangunan mampan yang turut meraikan dan memelihara budaya, warisan dan tradisi kampung tempatan.

"Kampung Laut bakal menjadi muzium hidup bagi masyarakat setempat berpeluang menjana pendapatan melalui aktiviti kebudayaan seperti persembahan wayang kulit dan permainan wau.

"Usaha ini akan menyuburkan kembali minat generasi muda menghidupkan kembali aktiviti kebudayaan seumpama ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, projek pembangunan semula Kampung Laut turut merangkumi Laman Warisan Seni yang dijangka siap awal tahun depan dan akan menyediakan ruang menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan kepada 12 pengusaha.

"Saya berbangga kerana ECERDC berpandangan jauh dan meneruskan projek seperti yang dirancang walaupun sewaktu pandemik kerana ia akan memastikan momentum pembangunan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tidak terjejas dan mewujudkan peluang pekerjaan serta keusahawanan baru kepada masyarakat setempat,” kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah menerusi kenyataan itu. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan