Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masjid gerak inisiatif bantu penduduk, buang tanggapan negatif terhadap institusi masjid

Beberapa masjid di Perak menjalankan inisiatif membantu masyarakat setempat yang berdepan kesukaran kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid gerak inisiatif bantu penduduk, buang tanggapan negatif terhadap institusi masjid

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 24 Mar 2020 05:41PM Dikemas Kini : 24 Mar 2020 05:50PM

IPOH: Beberapa masjid di Perak menjalankan inisiatif membantu masyarakat setempat yang berdepan kesukaran kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Masjid Jamek Kampung Dato Ahmad Said 3, di sini antara masjid yang melancarkan program bantuan khas kepada ahli kariahnya yang berdepan masalah dan terjejas akibat perintah kawalan tersebut.

Sinar Harian menukil pengerusinya, Encik Mohamad Nor Abdul Rahman sebagai berkata, inisiatif tersebut diusahakan bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan dengan menggunakan peruntukan masjid berjumlah RM10,000 (S$2,256).

Menurutnya, seramai 200 penduduk kampung terdiri daripada mereka yang kehilangan sumber pendapatan, bekerja sendiri, warga emas dan sebagainya menerima sumbangan tersebut.

"Setiap orang daripada mereka menerima barangan keperluan seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan sebagainya bernilai RM50. Jawatankuasa masjid bersama-sama MPKK menggerakkan usaha ini bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

"Duit tabung hasil sumbangan orang ramai ini kita gunakan untuk keperluan masyarakat setempat sekali gus memperluaskan peranan dan fungsi masjid itu sendiri, bukan sahaja sebagai tempat ibadat semata-mata," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Dato Ahmad Said 3, di sini pada Selasa (24 Mac).

Beliau berkata, pengagihan sumbangan tersebut bermula hari ini dengan wakil setiap keluarga yang layak datang ke masjid untuk mengambil barang tersebut mengikut peraturan ditetapkan dengan bantuan pihak polis.

Menurutnya, pihak masjid akan melihat keperluan dari masa ke masa untuk menambah bilangan penerima berdasarkan peruntukan atau dana sedia ada.

Sementara itu, seorang penerima, Cik Zaihasra Abu Bakar, 40, berkata, sumbangan tersebut amat melegakan dia dan keluarga yang kehilangan sumber pendapatan kerana terpaksa bercuti sementara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Beliau yang bekerja di sebuah kilang berkata, inisiatif yang dilakukan oleh Masjid Jamek Kampung Dato Ahmad Said 3 itu perlu dicontohi oleh masjid-masjid lain, di samping pihak lain juga dialu-alukan membantu golongan yang kehilangan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19.

Bagi Encik Abu Talib Othman, 60, pula, usaha dilakukan masjid tersebut harus diberi pujian sekali gus membuang persepsi negatif pihak tertentu terhadap institusi masjid.

Katanya, program kebajikan seperti itu perlu diteruskan untuk memastikan kebajikan umat Islam dijaga sebaik mungkin, sekali gus memberi imej baik kepada institusi Islam terutama masjid.

Dalam pada itu, Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar turut menjalankan inisiatif dengan melancarkan Program Kit Sumbangan RM30 bagi membantu meringankan beban ahli kariah yang memerlukan.

Dalam satu hantaran di Facebook, pihak masjid tersebut menjelaskan program tersebut sudah dimulakan pada 22 Mac lalu dengan mengalu-alukan sumbangan orang ramai terus ke akaun masjid.

Sumbangan yang diberikan itu bagi menyediakan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, sardin, tepung dan sebagainya.

Pemberian sumbangan itu bertujuan memastikan tiada ahli kariah terputus bekalan makanan berikutan arahan kawalan pergerakan berkenaan.

Malaysia melaporkan satu lagi kematian akibat COVID-19 pada Selasa petang (24 Mac), menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 15 kes.

Kes kematian ke-15 itu melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun berasal dari Melaka.

Beliau disyaki telah berhubung dengan kes positif COVID-19 yang telah menghadiri perhimpunan agama di Masjid Seri Petaling.

Sumber : Agensi berita/BERNAMA/EM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan