Images
  • Anthony Loke
    Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke. (Gambar fail: Bernama)

Masalah tag RFID sebab VEP ditangguhkan sehingga tahun depan

PUTRAJAYA: Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) hanya akan dikuat kuasakan pada tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke hari ini (9 Okt), sambil menambah bahawa sistem itu tidak dapat menguruskan jumlah kenderaan yang sepatutnya dipasang dengan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Semasa berucap di satu sidang media, menteri itu berkata penguatkuasaakn VEP terpaksa ditangguhkan akibat isu-isu teknikal.

Menurut Encik Loke, satu mesyuarat diadakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya Malaysia dan satu mekanisme yang baru bakal dimuktamadkan pada masa terdekat.

"Mekanisme yang baru itu akan memudahkan lagi proses memasang tag RFID pada semua kenderaan," katanya.

Encik Loke berkata langkah itu hanya akan dilaksanakan pada tahun depan bagi memastikan semua pemilik kenderaan di Singapura mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan.

Apabila dikuatkuasakan nanti, kenderaan-kenderaan asing tanpa tag RFID masih boleh memasuki Malaysia tetapi pemiliknya mungkin dikenakan denda ketika keluar dari negara itu, kata menteri tersebut.

Pada 2017, Malaysia mengumumkan bahawa semua kenderaan yang berdaftar di luar negara memerlukan VEP sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk menangani kes kereta dicuri dan sindiket pengklonan, selain mencegah kenderaan dengan denda yang tertunggak daripada meninggalkan negara itu.

Pada 23 September, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menangguhkan penguatkuasaan VEP bagi semua kenderaan yang meninggalkan negara itu menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) semasa waktu sibuk.

KSAB adalah pusat pemeriksaan imigresen Johor yang terletak dekat Tuas, manakala BSI pula terletak berhampiran Woodlands.

Pada 1 Oktober pula, kementerian itu mengumumkan bahawa VEP tidak akan dikuatkuasakan pada masa-masa sibuk dan tidak sibuk sehingga diberitahu kelak.

- CNA/AI/ai

Top