Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masalah kesuburan kaum Adam kian meningkat; libatkan 7% lelaki di dunia

Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki di Malaysia didapati semakin meningkat. Bahkan ia turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin, kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah kesuburan kaum Adam kian meningkat; libatkan 7% lelaki di dunia

(Gambar hiasan: Ludovic Marin/AFP)

Diterbitkan : 12 Jul 2020 08:33PM Dikemas Kini : 12 Jul 2020 09:18PM

PUTRAJAYA: Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki di Malaysia didapati semakin meningkat. Bahkan ia turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin, kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah.

Menurut beliau, berdasarkan data LPPKN bagi tempoh 2010 hingga 2019, kira-kira 60 peratus ujian analisis sperma mencatatkan keputusan abnormal atau luar biasa.  

“Memandangkan 95 peratus lelaki dapat menjalinkan hubungan seksual secara normal, mereka tidak sedar bahawa mereka mungkin mengalami masalah kesuburan,” ujarnya.

Abdul Shukur berkata satu kajian antarabangsa mendapati masalah itu semakin meningkat dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini dan isu tersebut melibatkan tujuh peratus populasi lelaki dunia.

“Tahap kesuburan dalam kalangan lelaki berumur kurang daripada 30 tahun juga telah menurun sebanyak 15 peratus," katanya.

BAGAIMANA KESUBURAN DALAM PASANGAN BERKAHWIN TERKESAN?

Menurut Abdul Shukur lagi, isu kesuburan lelaki ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam kalangan pasangan berkahwin. Ini berdasarkan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia yang menunjukkan peningkatan daripada 6.9 peratus pada 2004 kepada 8.6 peratus pada 2014.

"Angka ini dijangka mencecah 10 hingga 12 peratus, menghampiri kadar global iaitu 10 ke 15 peratus sekarang,” katanya sambil menambah senario itu suatu membimbangkan kerana boleh membawa kepada penguncupan generasi akan datang yang menjadi tunggak pembangunan negara pada masa depan.

Pada masa sama, Abdul Shukur berkata kerjasama dalam kalangan suami bagi pasangan yang mendapatkan perkhidmatan di klinik LPPKN adalah sangat baik iaitu 100 peratus hadir bersama pasangan dan menjalani rawatan seperti yang disyaratkan oleh lembaga berkenaan.

"Ini menunjukkan persepsi kaum lelaki tentang masalah kesuburan semakin berubah dan kesedaran mereka dalam hal ini semakin meningkat," ujarnya.

FAKTOR JEJAS KESUBURAN LELAKI

Abdul Shukur menggariskan antara faktor yang menyumbang kepada isu kesuburan lelaki ialah masalah psikoseksual seperti kurang nafsu seks.

“Masalah ini juga boleh terjadi apabila terdapat keabnormalan penghasilan dan fungsi sperma akibat defek genetik, penyakit kencing manis, jangkitan seperti mumps (beguk), masalah varikosel (salur darah berpintal)," terang beliau.

Punca lain termasuk mati pucuk, ejakulasi pramatang, ejakulasi ke dalam pundi kencing, sekatan pada testis dan kerosakan organ reproduktif.

"Masalah kesuburan ini juga boleh disebabkan oleh faktor persekitaran iaitu pendedahan berlebihan kepada bahan kimia, radiasi, suhu panas, asap tembakau, kafein, dadah rekreasi selain kerosakan pada testis akibat kanser atau rawatannya," kata Abdul Shukur lanjut.

Mengenai rawatan, beliau berkata LPPKN akan memberikan kaunseling kepada suami yang mengalami masalah seksual selain disaran mengambil ubat dan makanan tambahan tertentu jika perlu. 

Bagi lelaki yang menghadapi masalah sperma abnormal, mereka akan dirawat dengan ubat-ubatan terlebih dahulu. Sekiranya gagal, mereka akan dirawat menerusi kaedah dipanggil 'Intracytoplasmic Sperm Injection' (ICSI) iaitu kaedah Teknologi Bantuan Konsepsi (ART) atau Rawatan Bayi Tabung Uji. 

Abdul Shukur berkata data LPPKN dari 2010 hingga 2019 menunjukkan 75 peratus klien menjalani rawatan ART dengan 80 peratus daripadanya merekodkan persenyawaan.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan