Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masagos timba ilmu teknologi, kepakaran syarikat makanan di San Francisco

Terdapat banyak pengajaran yang boleh diraih menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat makanan yang memanfaatkan teknologi terkini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SAN FRANCISCO: Terdapat banyak pengajaran yang boleh diraih menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat makanan yang memanfaatkan teknologi terkini.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli berkongsi pengalamannya mengunjungi dua syarikat teknologi makanan di San Francisco dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (13 Jul).

Beliau kini berada di San Francisco bagi mempelajari teknologi-teknologi yang digunakan oleh syarikat makanan untuk memastikan produk-produknya mampan, prosesnya kurang mencemari udara dan membawa keuntungan.

Antara syarikat yang beliau kunjungi adalah JUST dan Memphis Meats.

Beliau berkongsi, bagaimana JUST, menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk membuat pelbagai versi makanan seperti mayo dan telur yang lazimnya didapatkan dari sumber haiwan.

Syarikat Memphis Meats, pula memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan daging "bersih" dalam makmal.

"Menurut mereka, kaedah begitu menggunakan sumber-sumber yang lebih rendah dan pengeluaran gas hijau juga lebih rendah. Ini sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar semasa menghasilkan daging.

"Kami berjaya menghasilkan udang yang dicipta dalam makmal tempatan, tetapi sama seperti Memphis Meats, kos pengeluaran adalah satu isu, seperti dengan mana-mana teknologi baru," dedah Encik Masagos dalam catatan Facebooknya.

Di Parlimen awal tahun ini Encik Masagos mengumumkan Singapura telah menetapkan matlamat untuk menghasilkan 30 peratus makanan yang diperlukan menjelang 2030.

Buat masa ini, Singapura menghasilkan kurang 10 peratus makanan yang diperlukan.

Menurut Encik Masagos lagi, syarikat-syarikat makanan inovatif di Singapura yang ingin memanfaatkan teknologi untuk mempertingkat produk masing-masing, boleh membangunkan keupayaan dan bakat di bawah program penyelidikan dan pengembangan (R&D) baru Singapore Food Story.

Program itu menumpukan kajian kepada usaha penghasilan makanan yang mampan di kota, termasuk pertanian di bandar, akuakultur dan penghasilan protein biotek, bagi menjamin keselamatan bekalan makanan negara.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.startupsg.net. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan