Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Masa pandemik ini boleh jejak kaki di Tanah Suci, menangis saya,' luah rakyat S'pura di Makkah

Pihak berkuasa Arab Saudi terus menyambut kedatangan ribuan jemaah umrah dari luar negara, sejak hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi terus menyambut kedatangan ribuan jemaah umrah dari luar negara, sejak hujung minggu lalu.

Semua jemaah umrah bagaimanapun tidak perlu dikuarantin setibanya di Saudi jika telah divaksinasi sepenuhnya bagi COVID-19.

Seorang warga Singapura yang sudahpun berada di Saudi di bawah visa ziarah lebih sebulan lalu, berkongsi pengalaman mengerjakan umrah di tengah-tengah pandemik sekarang.

Mulai 10 Ogos lalu, pihak berkuasa Saudi membuka permohonan visa umrah untuk para jemaah dari luar negara, buat julung-julung kalinya sejak 18 bulan lalu.

Dan sekarang, nampaknya keadaan di sekitar Masjidil Haram di Makkah telah mula menunjukkan perubahan.

"Kita sudah berada di dalam bangunan menara Zam-zam dan kita boleh lihat dan suasananya kedai-kedai yang lazimnya tutup tapi pada saat ini sudah banyak pengunjung yang membeli," kongsi Ustaz Muhammad Sofi Aw yang tinggal di Makkah.

Namun hanya para jemaah yang lengkap kedua-dua dos vaksin COVID-19 seperti Pfizer, Moderna, Astrazeneca dan Johnson&Johnson yang dibenarkan memasuki Saudi, tanpa perlu dikuarantin.

Permit untuk menjalankan ibadah umrah juga perlu didapatkan menerusi aplikasi bijak Eatamarna dan Tawakalna.

BERITAmediacorp sempat menemubual seorang warga Singapura yang berpeluang menunaikan ibadah umrah, di tengah-tengah pandemik sekarang, beberapa hari lalu.

"Sewaktu sampai di Saudi saya ke Madinah dulu. Dalam masa pandemik ini boleh menjejakkan kaki di tanah suci, menangis saya. Perjalanannya semua sempurna, tiada masalah," kata Encik Abdul Hamid.

Namun selepas lebih sebulan tiba di Saudi menggunakan visa ziarah kerana anaknya bertugas di Jeddah, barulah sekarang beliau dan isteri berjaya menyempurnakan ibadah umrah.

"Tak ramai orang semuanya teratur.
Banyak bezanya, sekarang ini tidak boleh suka-suka. Kalau saya di hotel mungkin dulu boleh solat lima waktu di Masjidil Haram, tapi sekarang kena booking sekali saja," tambahnya.

Menurut Timbalan Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Abdul Fattah Mashat, pihaknya bekerjasama dengan kementerian dan agensi-agensi lain, bagi memastikan keselamatan para jemaah ketika di Saudi.

Misalnya, jumlah penumpang di dalam bas tidak dibenarkan melebihi 50 peratus kapasiti serta jumlah jemaah yang melakukan umrah pada satu-satu masa, tidak melebihi 60,000 sehari.

Dan setiap orang boleh memohon slot umrah setiap 15 hari saja.

Namun ada rancangan untuk menambah jumlah jemaah umrah kepada 120,000 orang sehari atau 2 juta jemaah sebulan.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) telah membentuk satu jawatankuasa bertindak sebelum memutuskan bila akan mula membawa para jemaah umrah tempatan ke Saudi, mungkin sebelum hujung tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan