Images
  • muhyiddin marzuki
    Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin umum Encik Marzuki akan kekal sebagai Setiausaha Agung parti. (Gambar: BERNAMA)

Marzuki kekal Setiausaha Agung Bersatu

SEMENYIH: Penjelasan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Marzuki Yahya mengenai isu sijil akademik palsu yang dikaitkan dengannya adalah memadai.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu, Encik Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar akan kekal sebagai Setiausaha Agung parti berkenaan.

"Saya fikir dia sudah beri penjelasan yang mencukupi. Penjelasan situasi keadaan sebenar, orang boleh berkata apa-apa, tapi saya sudah duduk bincang dengannya dan dia sudah mengeluarkan kenyataan," kata Encik Muhyiddin.

"Bagi saya cukup memadai dan dia kekal sebagai Setiausaha Agung," tambah beliau.

Encik Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri selanjutnya berkata kedudukan Marzuki sebagai timbalan menteri kabinet akan ditentukan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelak.

Sebelum ini, aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat aduan polis terhadap pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki tidak wujud di Universiti Cambridge.

Encik Marzuki kemudian mengemukakan bukti beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) dari Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau turut memaparkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil ijazah daripada CIU sebagai bukti beliau seorang lulusan CIU dan bukannya University of Cambridge, Britain.

Dalam pada itu, Encik Muhyiddin berkata secara prinsipnya perbuatan berbohong adalah bertentangan dengan kerajaan Pakatan Harapan khususnya Bersatu yang berpegang teguh kepada integriti dan kejujuran.  

- BERNAMA/AQ/aq

Top