Images
  • iphone
    Gambar hiasan. (Gambar: Michaela Rehle/Reuters) 

Marahkan ibu sebab telefon, budak 10 tahun cuba terjun dari tingkat 19

JOHOR BAHRU: Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang cuba terjun dari tingkat 19 di sebuah pangsapuri di Larkin pada Sabtu (5 Okt).

Menurut Astro Awani, kanak-kanak itu nekad bertindak sedemikian selepas bertengkar dengan ibunya dipercayai kerana isu telefon.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba, Suhaimi Jamal berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.01 petang.

“Ketika bomba tiba, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berada di belebas tingkap tingkat 19 bangunan berkenaan dipercayai mahu terjun.

“Bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan tali di tingkat 20 selain memasang ‘air cushion’ di aras bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (7 Okt).

Menurut Encik Suhaimi lagi, dua anggota bomba cuba memujuk dan berbual dengan mangsa.

"Salah seorang anggota bomba itu mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk mangsa sebelum dia menghulurkan tangannya untuk masuk ke dalam," katanya.

Mangsa dibawa turun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

- Agensi berita/HA/ha

Top