Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan Presiden Mesir Morsi meninggal dunia semasa perbicaraan mahkamah

Mantan Pesiden Mesir Mohamed Morsi, 67 tahun, pemimpin pertama yang dipilih secara demokratik dalam sejarah moden Mesir, meninggal dunia pada Isnin (17 Jun) semasa perbicaraan di mahkamah atas tuduhan-tuduhan pengintipan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Presiden Mesir Morsi meninggal dunia semasa perbicaraan mahkamah

Sepanduk wajah mantan Presiden Mesir Mohamed Morsi. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 18 Jun 2019 09:32AM Dikemas Kini : 18 Jun 2019 09:38AM

KAHERAH: Mantan Pesiden Mesir Mohamed Morsi, 67 tahun, pemimpin pertama yang dipilih secara demokratik dalam sejarah moden Mesir, meninggal dunia pada Isnin (17 Jun) semasa perbicaraan di mahkamah atas tuduhan-tuduhan pengintipan.

Encik Morsi, seorang tokoh kanan dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang kini diharamkan, meringkuk di penjara sejak digulingkan oleh pihak tentera pada 2013, hanya setahun selepas mengambil alih jawatan presiden menyusuli bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya.

Pihak pendakwa raya berkata Encik Morsi rebah di kandang saksi dalam mahkamah sejurus selepas memberi keterangan. Beliau disahkan meninggal dunia di hospital pada 4.50 petang (10.50 malam waktu Singapura).

Bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Encik Morsi tidak mengesan sebarang tanda kecederaan yang dialami baru-baru ini.

Setelah berpuluh-puluh tahun Mesir dikuasai golongan autokrat, pertubuhan Ikhwanul Muslimin memenangi pilihan raya parlimen pada 2011 menyusuli pemberontakan yang mengguling pemerintahan Encik Hosni Mubarak yang disokong tentera.

KEADAAN DARURAT

Sumber-sumber keselamatan berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri Mesir mengisytiharkan keadaan darurat pada Isnin khususnya di wilayah Sharqiya di Lembah Nile, iaitu wilayah asal Encik Morsi di mana jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan.

Sebelum itu Encik Morsi dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan melakukan kegiatan risik dengan anggota-anggota kumpulan Hamas dari Palestin, yang terkait rapat dengan Ikhwanul Muslimin.

Peguam bela Encik Morsi berkata kesihatannya semakin uzur ketika dalam penjara. "Kami sudah membuat beberapa permohonan supaya beliau dirawat, ada permohonan yang dibenarkan dan ada yang ditolak," kata peguam Abdel-Menem Abdel-Maqsood kepada Reuters.

Semasa pemergiannya Encik Morsi sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan membunuh para penunjuk perasaan semasa bantahan-bantahan pada 2012, dan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan melakukan kegiatan risik berkaitan dengan negara Teluk, Qatar. Beliau tidak mengaku bersalah atas tuduhan-tuduhan itu. 

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan