Images
  • najib jailed
    Mantan PM Malaysia Najib Razak. (Gambar: AFP/ Mohd Rasfan)

Mantan PM Malaysia Najib Razak dikenakan tiga tuduhan pecah amanah, satu rasuah berhubung skandal 1MDB

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak didakwa di mahkamah pada hari Rabu (4 Julai) dengan empat tuduhan - tiga bagi pecah amanah dan satu lagi bagi menerima rasuah RM42 juta berhubung skandal 1MDB.

Tuduhan-tuduhan tersebut membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun berserta denda dan hukuman sebat.

Selaku penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Perdana Menteri yang diamanahkan dengan RM4 bilion milik wang SRC International Sdn Bhd yang mana beliau sebagai penasihat syarikat itu, Encik Najib didakwa melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Satu lagi tuduhan ialah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terbabit membuat keputusan bagi kerajaan untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Encik Najib, 64 tahun, ditangkap di rumahnya pada Selasa petang (3 Julai), dan bermalam di penjara. Beliau tiba di mahkamah sekitar jam 8.20 pagi.

Encik K.Kumaraendran, peguam Cik Rosmah Mansor, isteri Encik Najib memberitahu para wartawan bahawa beliau menasihati anak guamnya supaya tidak datang ke mahkamah.

Dua anak pasangan itu, Ashman Najib dan Nooryana Najwa Najib berada di mahkamah hari ini.

Turut hadir di mahkamah ialah menantu beliau, Daniyar Kessibayev yang datang dari Kazakhstan dan Mohd Nazifuddin Mohd Najib, anak mantan PM itu bersama isteri pertamanya.

Peguam Negara baru, Encik Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwa dalam kes terhadap mantan perdana menteri itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamarudin kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. 

- CNA/NA/na

Top