Images
  • 1mdb reuters
    (Gambar: Reuters)

Mantan CEO 1MDB mengaku terpedaya dengan tipu helah Jho Low

KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini (30 Jun) bahawa beliau terpedaya dengan tipu helah ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho, atau Jho Low, dalam penubuhan Brazen Sky Ltd bagi tujuan mendapatkan kembali dana pelaburan negara itu.

Peguam Najib Tun Razak, Muhammad Shafee Abdullah, mencadangkan kepada saksi itu bahawa meskipun Jho Low berkata syarikat tersebut ditubuhkan bagi tujuan mendapatkan kembali wang 1MDB, ia sebenarnya adalah untuk memberikan gambaran bahawa sejumlah wang yang sah akan diperoleh Brazen Sky.

Brazen Sky Ltd adalah sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi mendapatkan kembali wang 1MBD. 

Bagaimanapun, saksi kesembilan pendakwaan tersebut berkata beliau tidak menyedarinya pada ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas Muhammad Shafee pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion (S$749 juta) dalam skandal 1MDB.

Saksi itu juga berkata Jho Low mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mampu meyakinkan orang lain bahawa beliau bertindak demi kepentingan mereka. 

Peguam itu kemudian mencadangkan bahawa Najib juga sebenarnya ditipu oleh Jho Low dan Shahrol Azral berkata beliau tidak boleh memberikan komen mengenai perkara tersebut.

Pada akhir prosiding hari ini, Muhammad Shafee berkata beliau akan menyentuh isu lain yang lebih besar dan meminta agar perbicaraan diteruskan esok pagi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada peguam itu berapa lama lagi masa yang akan diambilnya untuk menyoal balas Shahrol Azral.

Muhammad Shafee berkata beliau mempunyai tiga fasa lagi untuk menyoal balas saksi itu dan akan mengambil masa selama tiga minggu untuk menyelesaikannya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pendakwaan mempunyai sejumlah 55 saksi lagi, termasuk dari luar negara.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai sama.

Perbicaraan bersambung esok.

- BERNAMA/HA/ha

Top