Images
  • joram
    Jovan van Kalveren (kiri) dengan Geert Wilders di parlimen Belanda pada 2013. (Gambar:Martijn Beekman/AFP) 

Mantan AP Belanda Joram van Klaveren peluk agama Islam

THE HAGUE: Joram van Klaveren, seorang Anggota Parlimen sayap kanan tegar Belanda dan orang kanan ahli politik anti-Islam, Geert Wilders, menjadi buah mulut ramai di Netherlands selepas mendedahkan beliau memeluk agama Islam, lapor media tempatan.

Selama tujuh tahun, Joram van Klaveren giat berkempen di Dewan Rakyat menentang Islam di Netherlands sebagai seorang penggubal undang-undang bagi Parti Pembebasan (PVV) pimpinan Encik Wilder.

Sebelum ini, "penyokong tegar itu mengusulkan supaya pemakaian burka diharamkan dan menara-menara masjid tidak dibina sambil berkata 'kami tidak menginginkan Islam atau sebarang unsur agama itu di Netherlands'," lapor agensi berita Algemeen Dagblad.

Namun, Encik Van Klaveren, 40 tahun, berkata beliau memutuskan untuk bertukar fikiran selepas menulis satu buku anti-Islam di mana "banyak persoalan terhadap agama Islam terjawab".

"Jika apa-apa yang saya tulis sehingga setakat itu adalah benar, dan saya mempercayainya, maka hakikatnya saya seorang Muslim," katanya kepada NRC.

Encik Van Klavern memeluk agama Islam pada 26 Okt tahun lalu, tambah NRC dalam rencana yang diterbitkan sehari sebelum pelancaran bukunya yang bertajuk "Apostate: From Christianity to Islam in the Time of Secular Terror."

"Keputusan beliau membuat ramai kenalannya berasa terkejut - baik rakan mahupun musuhnya," lapor akhbar AD.

Van Klaveren keluar dari parti Encik Wilder pada 2014 selepas pemimpin PVV mengeluarkan komen-komen kontroversial pada tahun itu apabila meminta para penyokongnya sama ada mereka menginginkan "kurang atau lebih ramai rakyat Maghribi di bandar mereka dan Netherlands".

Encik Wilder pada 2016 didapati bersalah atas dakwaan diskriminasi.

Encik Van Klaveren kemudian menubuhkan parti sayap kanannya sendiri yang dipanggil "For Netherlands" (VNL) tetapi meninggalkan bidang politik selepas gagal mendapat satupun kerusi dalam pilihan raya 2017.

"Jika ini benar-benar bukan sekadar satu publisiti untuk mempromosikan bukunya, ia benar-benar satu keputusan luar biasa bagi seseorang yang mempunyai banyak perkara yang ingin diungkapkan tentang Islam," kata mantan Pengasas Bersama VNL Jan Roos kepada AD.

"Tetapi kami mempunyai kebebasan beragama di Netherlands. Beliau boleh menganut mana-mana agama yang diinginkan," tambah Encik Roos.

Said Bouharrou, yang berkhidmat dalam Lembaga Masjid-Masjid Maghribi di Netherlands memuji Encik Van Kalveren.

"Ia luar biasa sekali bagi seseorang yang begitu kritikal terhadap agama Islam sebelum ini untuk menyedari ia bukan (agama) yang tidak baik atau jahat," katanya kepada AD.

"Beliau begitu berani untuk mengumumkan kepada orang ramai," tambah beliau.  

- AFP/AQ/aq

Top