Images
  • banjir (1)
    (Gambar: AFP)

Mangsa banjir Jakarta saman Gabenor

JAKARTA: Gabenor Jakarta berdepan dengan tuntutan mahkamah daripada penduduk bandar itu selepas hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh mengirbankan berpuluh-puluh mangsa dan menyebabkan ribuan yang lain hilang tempat berteduh, kata seorang peguam, pada Selasa (14 Jan).

Lebih 200 mangsa banjir menuntut pampasan bernilai 43 bilion rupiah (S$3 juta), yang difailkan di mahkamah daerah Jakarta, semalam.

Tuntutan mahkamah itu mendakwa Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bertanggungjawab kerana gagal memastikan bandar besar itu dilengkapi sistem amaran awal yang sewajarnya dan langkah-langkah kecemasan yang berkesan bagi mengurangkan jumlah kematian dan kerugian.

Biro guaman bandar itu bagaimanapun belum lagi mengulas berhubung tuntutan mahkamah itu.

“Ini perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada pemerintah setempat di kawasan-kawasan lain supaya sentiasa berwaspada dengan langkah pencegahan bencana," kata peguam, Alvon Kurnia Palma kepada AFP.

“Jika ini berlaku di Jakarta, di mana pemerintah pusat ditempatkan, ia juga boleh berlaku di mana-mana saja,” tambahnya.

Bencana itu menyebabkan kerugian bernilai sekurang-kurangnya AS$72 juta (S$97 juta), membabitkan kerosakan dan kerugian, menurut Persatuan Usahawan Pribumi Indonesia.

Seluruh kawasan bandar itu yang didiami kira-kira 30 juta penduduk ditenggelami banjir yang memaksa beribu-ribu penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara selepas hujan lebat melanda sehari sebelum sambutan Tahun Baru.

Sekurang-kurangnya 67 orang maut di Jakarta dan di bandar-bandar berhampiran, dengan air bah naik sampai ke tingkat dua bagi sebilangan bangunan selepas air sungai melimpah dari tebing.

- AFP/NA/na

Top