Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia umum rancangan tidak jadikan pemilikan, salah guna dadah sebagai jenayah

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis (27 Jun) mengumumkan rancangan untuk menjadikan pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan satu kesalahan jenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia umum rancangan tidak jadikan pemilikan, salah guna dadah sebagai jenayah

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Jun 2019 06:47PM Dikemas Kini : 28 Jun 2019 06:53PM

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis (27 Jun) mengumumkan rancangan untuk menjadikan pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan satu kesalahan jenayah.

Menyifatkan langkah tersebut sebagai "dasar pembawa perubahan (gamechanger) yang penting", Dr Dzulkefly bagaimanapun menegaskan ia tidak boleh dianggap sebagai usaha mewajarkan penggunaan dadah.

"Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam mengedar dadah.

"Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah," kata Dr Dzulkefly seperti dipetik Malaysiakini.

Menteri tersebut dilaporkan berkata bahawa isu penggunaan dan ketagihan dadah perlu dilihat dari aspek perubatan.

"Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang menggunakan dadah dan ketagih - mungkin terdapat kecenderungan genetik, keadaan persekitaran seperti kemiskinan, perpecahan keluarga, tekanan di sekolah dan rakan sebaya boleh menyebabkan seseorang mula menggunakan dadah.

"Sudah tentu meletakkan mereka di dalam penjara tidak akan mengubahnya. Ia bukan semata-mata tentang soal seseorang itu memiliki tekad yang lemah," jelasnya.

Menurut laporan Malaysiakini, Dr Dzulkefly turut menarik perhatian bahawa lebih 30 buah negara di seluruh dunia sudah memulakan langkah untuk dekriminalisasi dadah.

Beliau juga merujuk kepada hasil penyelidikan yang menunjukkan langkah itu tidak meningkatkan penggunaan dadah atau jenayah berkaitan dengannya.

Sebaliknya, beliau berkata penyelidikan mendapati dasar itu dapat mengurangkan kos dalam sistem keadilan jenayah dan memperbaiki sahsiah masyarakat.


LANGKAH DIALU-ALUKAN NGO

AFP melaporkan, dasar tersebut kini pada peringkat awal dan menteri berkenaan tidak memberikan butiran lanjut.

Pengumuman itu dialu-alukan oleh puluhan NGO dan kumpulan perubatan, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia dan Akademi Perubatan Malaysia, yang menyokong "pendekatan kesihatan awam" bagi kegunaan dadah.

"Menjadikannya satu jenayah menyebabkan ramai penagih dadah takut untuk tampil meminta bantuan perubatan kerana takut hukuman dan rekod jenayah," menurut satu kenyataan bersama, sambil menambah bahawa dasar sedia ada "mewujudkan kitaran pemenjaraan dan kemiskinan" bagi penagih. 

Sumber : Agensi berita/TQ/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan