Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Malaysia tidak lagi tertekan sangat masalah kewangan', isytihar Dr Mahathir

Malaysia tidak lagi begitu tertekan oleh masalah kewangan kerana ia sudah diuruskan dengan lebih cermat, isytihar Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Rabu (10 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
'Malaysia tidak lagi tertekan sangat masalah kewangan', isytihar Dr Mahathir

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jul 2019 07:12PM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 07:15PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi begitu tertekan oleh masalah kewangan kerana ia sudah diuruskan dengan lebih cermat, isytihar Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Rabu (10 Jul).

Dr Mahathir, yang menyambut ulang tahunnya ke-94 hari ini, menganggap kemampuan untuk mengurangkan tekanan terhadap situasi kewangan Malaysia sebagai kejayaan membanggakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.

Beliau, yang diiktiraf sebagai perdana menteri tertua dunia, berkata tidak banyak negara yang berhadapan dengan situasi yang sama seperti Malaysia akan dapat mengatasi masalah itu.

“Saya berpendapat sudah banyak masalah kita kurangkan, masalah kewangan kita dapat tangani... kita tidak lagi tertekan sangat dengan masalah kewangan kerana kita telah uruskannya dengan lebih cermat,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama Radio bersempena ulang tahun beliau itu.

Atas sebab itu, katanya Malaysia kini berada dalam keadaan tenang dan aman.

“...dan kita taklah tertekan sangat sehingga ada orang yang memberi pinjam kepada kita yang membuat tuntutan ke atas kita, menekan kita. Itu tidak berlaku,” kata Perdana Menteri Malaysia itu.

“Kita boleh tangani keadaan kewangan negara kita, ini sesuatu yang boleh dikatakan satu kejayaan.”

Selepas gabungan PH yang diketuai Dr Mahathir menamatkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional, negara didapati dibebani dengan hutang berjumlah lebih RM1 trilion yang mendorong kerajaan berusaha keras mengatasi masalah ini.

Dr Mahathir berkata tahap keseriusan masalah kewangan yang dihadapi negara hanya didedahkan apabila beliau sekali lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.

“Apabila kita berkuasa dan kita dapat melihat dari dalam, kita dapati bahawa masalah ini lebih besar (daripada yang diketahui umum) dan akan memakan masa sedikit (untuk diatasi),” katanya.

10, 15 TAHUN PULIH KE TAHAP HARIMAU ASIA

Antara langkah diambil kerajaan PH untuk mengurangkan masalah kewangan negara ialah mengkaji semula projek mega dan perjanjian terdahulu di bawah kerajaan sebelum ini, menjejaki dana 1MDB yang dicuri dan mengisytiharkan perang terhadap gejala rasuah.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa asas-asas pemulihan kewangan negara sudah pun diletakkan.

“Dalam jangka masa tiga tahun saya ingat masalah kita ini akan berkurangan tetapi belum sampai ke tahap ia dapat dipulihkan dengan mudah.

“Untuk pulih sehingga ke tahap nak jadi Harimau Asia, mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun,” katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan