Images
  • handcuff (1)
    Gambar fail gari tangan. (Gambar: Michelle Shephard/AFP)

Malaysia tahan baki 3 suspek pengganas berkait ISIS

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki disyaki terlibat memberi sokongan kepada kumpulan ISIS serta merancang melakukan serangan di Malaysia dan Indonesia ditahan di sekitar Kedah dan Selangor Selasa lalu.

Ketua Polis Malaysia Abdul Hamid Bador dalam kenyataan hari ini (16 Mei) berkata dua lelaki tempatan dan seorang Indonesia ditahan oleh Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Memberikan butiran tangkapan pertama di Kuala Muda, Kedah, beliau berkata dua lelaki dikenali sebagai Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin ditahan selepas menyerah diri hasil kerjasama keluarga masing-masing.

"Kedua-dua suspek berusia 27 tahun yang berasal dari Bedong, Kedah itu telah disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis pada 13 Mei lepas.

"Muhammad Syazani bekerja sebagai penjual burger manakala Muhamad Nuurul Amin pula bekerja sebagai pekebun," katanya.

Encik Abdul Hamid mendedahkan suspek bersama-sama Muhammad Izham Razani yang ditahan pada 22 Nov 2018 di Sungai Petani, Kedah pernah menjalani latihan membuat bom di Yogyakarta, Indonesia pada 2018 dikendalikan kumpulan pengganas Jemaah Ansharut Daulah Indonesia.

"Mereka mempelajari kaedah untuk menghasilkan Triacetone Triperoxide (TATP) iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan letupan berskala besar dan bom kenderaan.

"Kedua-dua suspek juga dikesan melakukan tinjauan ke atas beberapa gereja di sekitar Yogyakarta untuk melancarkan serangan," katanya sambil memberitahu Muhammad Syazani juga dipercayai merancang melakukan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam di negara ini dengan kaedah serangan nekad.

Sementara itu, beliau berkata lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun dikenali sbagai Nuruddin Alele @ Fatir Tir ditahan di Banting, Selangor hasil maklumat orang awam.

"Suspek merupakan anggota sel 'wolf pack' ISIS yang ditahan pada 5 hingga 7 Mei lepas dan terlibat dalam rancangan untuk melakukan operasi pembunuhan serta serangan ke atas tempat-tempat ibadat agama Kristian, Hindu, Buddha dan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

"Suspek terdedah dengan ideologi kumpulan ISIS semasa menjalani hukuman penjara lima tahun di Surabaya," katanya.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

LAPORAN BERKAITAN:

- BERNAMA/TQ/tq

Top