Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia, Singapura terus runding buka semula sempadan secara beransur-ansur

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah berkata rundingan itu termasuk cadangan pergerakan rentas sempadan harian (DCA).

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia, Singapura terus runding buka semula sempadan secara beransur-ansur

Kenderaan di Koswe Woodlands pada 17 Ogos 2020. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 07:43AM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 07:45AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Singapura bagi pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur, bergantung kepada keadaan kesihatan semasa kedua-dua negara.

Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah berkata demikian ketika menggulung usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Khamis (23 Sep).

Beliau berkata, disebabkan keadaan COVID-19 di kedua-dua buah negara masih belum reda, Malaysia dan Singapura akan terus melaksanakan peraturan kesihatan yang ketat bagi pergerakan rentas sempadan.

"Meskipun kadar vaksinasi bagi kedua-dua negara sudah mencapai lebih kurang 80 peratus, pembukaan semula sempadan melibatkan pelbagai pihak dan faktor-faktor penting lain untuk dipertimbangkan," kata Encik Saifuddin.

“Namun demikian, menjadi keutamaan kerajaan untuk terus berunding dengan Singapura berkenaan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur bergantung kepada situasi kesihatan semasa ini termasuk cadangan pergerakan rentas sempadan secara harian (DCA)," tambah beliau.

Skim DCA sebelum ini diusulkan Kerajaan Negeri Johor.

Dalam satu wawancara dengan Mediacorp pada November 2020, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata skim tersebut akan memudahkan pergerakan sehingga 30,000 pelawat setiap hari antara kedua-dua negara.

Bagi memudahkan pelaksanaan skim itu, beliau berkata kerajaan negeri misalnya boleh mengeluarkan pas-pas perjalanan setiap 10 hari dan pelawat boleh menggunakan pas tersebut untuk melakukan perjalanan rentas sempadan sekitar tiga kali sepanjang tempoh tersebut.

Ahli Parlimen Benut itu turut menjelaskan bahawa skim tersebut berguna bagi pelajar dan juga warga Malaysia yang bekerja di Singapura, yang perlu melakukan perjalanan ulang-alik setiap hari.

Dalam uacapannya, Encik Saifuddin juga berkata DCA masih lagi "diperingkat saranan" dan "banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi sebelum ia boleh dilaksanakan".

“Saya difahamkan baru-baru ini Menteri Kesihatan kita (Khairy Jamaluddin) telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya, Menteri Kesihatan Singapura (Ong Ye Kung) mengenai cadangan pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura.

“Jadi kita berdoa dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin sebab memang kedua pihak saling memerlukan pembukaan sempadan,” katanya.
Beliau berkata rakyat Malaysia boleh memanfaatkan skim perjalanan rentas sempadan (PCA) yang diperkenal bagi membenarkan pekerja yang berada di Singapura termasuk berstatus mastautin pulang bercuti di Malaysia.

Katanya, pekerja masih boleh kembali ke Singapura dan menyambung pekerjaaan setelah tamat bercuti melalui skim PCA.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri Johor sedang berusaha mengumpul data penduduk Johor yang sudah divaksinasi di Singapura dan mengemas kini maklumat itu dalam aplikasi pengesanan kontak MySejahtera. 

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan