Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia sedia bawa pulang rakyatnya di Wuhan - Dr Mahathir

 Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan, China, berikutan wabak virus Wuhan jika dibenarkan Beijing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia sedia bawa pulang rakyatnya di Wuhan - Dr Mahathir

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 Jan 2020 08:08PM Dikemas Kini : 29 Jan 2020 08:19PM

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan, China, berikutan wabak virus Wuhan jika dibenarkan Beijing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Untuk tujuan itu, beliau berkata kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China.

"Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke Malaysia," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet, di sini hari ini.

Menurut Dr Mahathir, terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan ketika ini.

Jika dibenarkan pulang oleh pemerintah China, rakyat Malaysia berkenaan akan dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus korona, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, katanya.

"Mereka akan tertakluk kepada 14 hari kuarantin bagi menentukan mereka tidak menghidap jangkitan virus tersebut " kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga ingin menghantar barangan bantuan berupa makanan, penutup hidung dan mulut serta sarung tangan ke Wuhan.

Ini kata beliau berikutan terdapat laporan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hanya untuk empat hari sahaja.

"Kita berminat juga untuk bantu Wuhan, jadi kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk ambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh pemerintah China, kita akan bawa makanan, sarung tangan dan penutup hidung dan mulut kalau kita ada, sebab di sana pun dah kekurangan bekalan," jelasnya.

Ditanya secepat mana rakyat Malaysia di Wuhan boleh dibawa pulang, Dr Mahathir berkata ini bergantung kepada kebenaran daripada pemerintah China.

"Kerana Jepun telah membawa pulang rakyatnya dengan kebenaran pemerintah China" katanya.

Dalam pada itu, PM Mahathir berkata Malaysia akan meneruskan larangan kemasukan ke atas pelawat dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei ke Malaysia sama ada terbukti sakit ataupun tidak.

"Kalau mereka dari Wuhan dan Hubei, mereka tidak dibenarkan masuk Malaysia tetapi pelawat dari tempat lain dibenarkan masuk," katanya.

Ditanya sama ada perlu dipasang mesin pengimbas suhu di pintu pelepasan, Dr Mahathir berkata kerajaan hanya bimbang terhadap orang yang memasuki Malaysia.

“Kita hendak mencegah orang yang sakit daripada masuk, jika mereka hendak keluar kita tidak periksa mereka,”katanya.

Ditanya mengenai keadaan tujuh warga China yang didapati positif dengan virus korona, Dr Mahathir berkata setakat ini gejala penyakit itu tidak memburuk.

“Mereka masih berada di hospital dan akan tinggal beberapa hari lagi. Setakat ini gejala itu tidak semakin buruk,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Mahathir kesal dengan larangan yang dikenakan ke atas pelawat asing bukan Islam untuk memasuki masjid di negara ini menyusuli kebimbangan terhadap jangkitan virus korona.

"Ini bukan dasar kerajaan. Kerajaan tidak isytihar muzium, masjid tidak boleh dilawati kerana kononnya pelancong dari China mungkin bawa penyakit ke tempat ini," katanya.

PM Mahathir turut menyelar tindakan sesetengah pihak kerana menyebarkan berita palsu mengenai jangkitan virus korona bagi menakut-nakutkan orang ramai serta mencetuskan perasaan benci antara kaum.

“Kebebasan akhbar terus kekal di negara ini tetapi menyebarkan berita palsu, menyatakan perkata dusta, semua perkara ini untuk menimbulkan masalah di Malaysia tidak akan diterima dan kami akan mengambil tindakan terhadap mereka, "katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan