Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia kembalikan 150 kontena sampah ke negara asal

Malaysia menghantar semula 150 kontena kapal berisi sisa plastik, kebanyakannya ke negara-negara lebih kaya, sambil menegaskan pada Isnin (20 Jan), ia tidak akan menjadi "tapak sampah" dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kembalikan 150 kontena sampah ke negara asal

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Jan 2020 06:09PM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 06:12PM

BUTTERWORTH: Malaysia menghantar semula 150 kontena kapal berisi sisa plastik, kebanyakannya ke negara-negara lebih kaya, sambil menegaskan pada Isnin (20 Jan), ia tidak akan menjadi "tapak sampah" dunia.

Rantau ini dibanjiri plastik dari negara-negara lebih maju seperti Amerika Syarikat dan Britain sejak 2018, selepas China - yang sebelum ini mempunyai industri kitar semula berskala besar - mengarahkan penghentian kebanyakan import.

Banyak perniagaan kitar semula China berpindah ke Malaysia selepas larangan itu berkuat kuasa, menyebabkan sejumlah besar plastik dihantar tanpa permit dan membanjiri masyarakat-masyarakat kecil.

Pemerintah-pemerintah di seluruh rantau ini kini sedang menghantar semula plastik yang diimport secara haram, dan Menteri Alam Sekitar Malaysia Yeo Bee Yin, berkata negaranya sudah mengembalikan 150 kontena yang mengandungi 3,737 tan metrik sisa, kembali ke negara-negara termasuk Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.

Para pegawai berharap untuk menghantar balik lagi 110 kontena dalam masa terdekat, 60 daripadanya dari Amerika, kata Cik Yeo.

Pihak berkuasa "akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tapak sampah dunia", tambahnya.

Kementerian alam sekitar "akan terus memerangi pencemaran, termasuk sisa plastik", katanya kepada para pemberita di bandar utara Butterworth. Beberapa kontena dihantar pulang dari pelabuhan utama di situ.

Negara-negara pengeksport dan syarikat perkapalan menanggung kos pengembalian kontena.

"Kami tidak mahu membayar walau satu sen," tegas menteri itu.

"Orang membuang sampah mereka ke negara kita, kita tidak sepatutnya membayar mereka untuk menghantarnya semula."

Kontena-kontena tersebut dihantar ke 13 negara, dengan 43 kembali ke Perancis, 42 ke Britain, 17 ke Amerika Syarikat dan 11 ke Kanada.

Beberapa negara Asia Tenggara sudah menghantar balik sampah yang tidak diingini dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Indonesia mengembalikan beratus-ratus kontena ke negara asal masing-masing dan Filipina menghantar pulang sejumlah besar sampah ke Kanada.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan