Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia kaji buka destinasi pelancongan khusus untuk pelancong asing

Dalam usaha menarik pelancong antarabangsa berikutan pandemik COVID-19 ketika ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan untuk memanfaatkan tarikan pelancongan khusus di destinasi zon hijau.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kaji buka destinasi pelancongan khusus untuk pelancong asing

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Aug 2020 08:11AM Dikemas Kini : 25 Aug 2020 08:20AM

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menarik pelancong antarabangsa berikutan pandemik COVID-19 ketika ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan untuk memanfaatkan tarikan pelancongan khusus di destinasi zon hijau.

Menterinya, Nancy Sukri berkata kementerian akan mengkaji pelbagai tempat yang selamat terutamanya pulau-pulau yang berpotensi mempunyai destinasi zon hijau dengan kegiatan khusus seperti golf, menyelam dan pengembaraan berasaskan ekologi.

“Sebelum ini, kami bercadang membuka negara kita kepada negara hijau (negara-negara yang telah pulih daripada COVID-19) tetapi sesetengahnya mengalami gelombang kedua COVID-19 ...dengan itu kami perlu kreatif dan mencari kaedah baharu dalam menghadapinya, kini tidak lagi fokus pada negara tetapi lebih kepada kawasan khusus dan pulau-pulau.

“Kami sedang mengkaji perkara ini, dan menerusi kerjasama dan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MOTAC telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kertas konsep dalam minggu ini atau minggu depan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya apa yang penting adalah perlu dapatkan persetujuan bersama antara negara-negara sekiranya Malaysia memutuskan untuk membenarkan pelawat berkunjung ke destinasi zon hijau, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events Week di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, pada Isnin (25 Ogos).

Beliau berkata laluan hijau timbal balik dan peraturan ulang alik berkala yang telah dilaksanakan dengan Singapura, misalnya boleh diperluaskan ke negara lain yang akan dikenal pasti oleh Malaysia, dengan syarat kedua-dua pihak bersetuju.

Terdahulu, Cik Nancy dalam ucapannya pada program anjuran Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) itu berkata walaupun pelancongan antarabangsa telah terjejas oleh pandemik itu, unjuran bagi acara perniagaan di Malaysia masih positif.

“Walaupun kami sedar bahawa landskap adalah kurang memberangsangkan, saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa MOTAC, bersama-sama pelbagai kementerian sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan semuanya lancar dalam usaha membina semula momentum, dan bila saat itu tiba, kami akan bersedia memulihkan sektor pelancongan dengan kadar cepat,” katanya.

Beliau berkata banyak acara yang dijadual diadakan di Malaysia telah ditangguhkan dan bukannya dibatalkan, dengan sejumlah besar acara telah diperoleh dan disokong oleh MyCEB sendiri mempunyai peluang cerah, dengan hanya 24 acara dibatalkan dan 64 ditangguhkan.

Beliau berkata acara Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events Week merupakan wadah yang sempurna dan tepat pada masanya kerana ia membantu pihak berkepentingan melaksanakan pelan pemulihan acara perniagaan secara komprehensif, dan pada masa yang sama, memastikan ia mampan dan berdaya tahan.

“Bertemakan “Membina Semula Keyakinan”, ia amat sesuai untuk menangani keadaan itu, dan pada masa yang sama merangsang landskap pelancongan menerusi platform lain seperti pelancongan domestik atau program insentif korporat tempatan,” katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan