Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia di tangga ke-16 negara paling aman di dunia, S'pura di tangga ke-7

Malaysia kini berada di tangga ke-16 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia di tangga ke-16 negara paling aman di dunia, S'pura di tangga ke-7

Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 15 Jan 2020 12:31AM Dikemas Kini : 15 Jan 2020 12:33AM

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di tangga ke-16 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata laporan GPI itu turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara ketiga paling aman di Asia Tenggara selepas Jepun dan Singapura.

Mengikut ranking tersebut, Singapura berada di tangga ke-7, sementara Jepun pula di tangga ke-9.

Tiga tangga teratas diduduki oleh Iceland (1), New Zealand (2) dan Portugal (3).

"Laporan GPI ini adalah penting dan perlu diketengahkan kerana ia akan menarik perhatian terutama pelabur dan pelancong asing untuk datang.

"Sekarang, kita berada di kedudukan yang baik berbanding tangga ke-26 pada 2018 dan ia (sesuatu) yang boleh dibanggakan. Kita berharap ia akan berterusan seperti ini pada masa akan datang," katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Pertahanan Sepanjang 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1, Isnin malam.

Pada masa sama, Encik Mohamad berkata kementerian itu juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan soal keselamatan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ancaman anasir luar dan pencerobohan termasuk penculikan yang kerap berlaku di sana.

Menurutnya, keselamatan di Sabah dan Sarawak adalah terkawal dengan pelaksanaan pengoperasian daripada ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Kami sentiasa bertanya kedudukan keselamatan selain bagaimana ia perlu diperlengkapkan dengan peralatan terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau bagi memastikan kepentingan keselamatan di Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin.

"Malah, ATM juga masih mengekalkan komitmen dan peranannya bersama ESSCOM dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE)," katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan Indonesia dan Filipina turut diperkukuh bagi membanteras permasalahan itu.

"Bahkan, hubungan erat itu menyebabkan berlaku sedikit kekurangan jenayah di kawasan yang dianggap 'panas' selama ini," katanya.

Sementara itu, Encik Mohamad menyifatkan tahun 2020 adalah sebagai tahun persediaan dalam menghadapi permulaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang merupakan rangka hala tuju industri pertahanan dan keselamatan negara dalam menangani ancaman yang semakin mencabar dan canggih.

"KPP akan menjadi panduan kepada pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang. Ia adalah dokumen terbuka yang dibangunkan bagi melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan di dalam isu pertahanan negara," katanya.

KPP, yang menggariskan dua peranan ATM melibatkan peranan utama dan sekunder, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Dis lepas.

Sumber : Bernama/NA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan