Images
  • makkah suspended musollah
    (Gambar: Khadam Haramain/Facebook)

Makkah bina 'ruang musollah' tergantung tertinggi di dunia

MAKKAH: Pembinaan ruang musollah tergantung, yang tertinggi di dunia, sudahpun bermula di Makkah.

Berada pada ketinggian 161 meter, kawasan solat tersebut betul-betul menghadap Kaabah dan Masjidil Haram
dengan jaraknya cukup dekat untuk mendengar laungan azan dan solat.

Seluas 400 meter persegi, musollah tergantung itu boleh menampung lebih 200 jemaah.

Mengikut perinciannya, kemudahan solat berkenaan terletak pada sebuah jambatan yang menghubungkan dua menara di satu kawasan menghadap King Abdulaziz Road.

Reka bentuknya dibina untuk memperuntukkan 50 peratus kawasan bagi ibadah solat manakala baki ruang pula adalah bagi perkhidmatan lain.

Bercakap kepada laman Al-Arabiya.net, Encik Anas Sairafi, perunding yang melakar reka bentuk tersebut, berkata kawasan solat kini dalam fasa pembinaan dan dijadual siap dalam tempoh enam bulan akan datang.

Encik Sairafi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hartanah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Makkah (MCCI), menambah: "Jambatan tergantung itu menjalani kajian yang panjang untuk menentukan sama ada ia mampu menahan fenomena iklim dan semula jadi. Dari segi keadaan pembinaan, ia pastinya selamat.

"Kajian tersebut mengambil masa beberapa tahun disusuli semakan dan pemeriksaan teliti bagi memastikan ia boleh menahan impak tindakan angin, perubahan suhu, gempa bumi dan perbezaan ukuran tanah di bawah kedua-dua menara berkenaan, pada menara-menara itu sendiri yang dihubungkan oleh jambatan tergantung itu.

"Oleh itu, ia diputuskan bahawa rangka struktur besi itu adalah yang paling sesuai kerana ia lebih ringan dan lebih fleksibel pada ketinggian ini."

Bahagian tertentu kawasan musollah tersebut boleh digerakkan ke atau dari salah satu daripada dua menara tersebut. Bagi satu lagi bahagian pula, ia hanya boleh digerakkan sehingga 20 sentimeter.

Kawasan solat itu mempunyai struktur besi dan tidak mengandungi konkrit, tambah Encik Sairafi. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top