Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

‘Makcik Gelang Pink‘ dihukum penjara sehari, didenda RM8,000

Wanita warga emas yang sebelum ini tular sebagai ‘makcik gelang pink’, hari ini (14 Ogos) dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin pada awal bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Makcik Gelang Pink‘ dihukum penjara sehari, didenda RM8,000

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 02:00PM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 02:09PM

IPOH: Wanita warga emas yang sebelum ini tular sebagai ‘makcik gelang pink’, hari ini (14 Ogos) dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin pada awal bulan lalu.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman terhadap Nur Emah Mohamad Hashim, 72, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan kesalahan itu di sebuah restoran, di Lengkok Meru Permai 1, Halaman Meru Permai, kira-kira 8.00 pagi, 6 Julai lalu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita yang hadir memakai jubah hitam itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia dituduh tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian di bawah Subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diarahkan Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor, pada pukul 5.30 petang, 4 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Sub Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1987 dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 24(a) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Awal dari itu, Ahmad Fakurazi memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukannya.

Nur Emah yang merupakan ibu tunggal dalam rayuannya dengan nada sebak sambil mengalirkan air mata memohon hukuman ringan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya selain mempunyai masalah kesihatan.

Mengikut fakta kes, pada 21 Julai lalu, JKN Perak menerima aduan mengenai tular sekeping gambar seorang wanita memakai gelang perintah pengawasan di rumah tidak berada di alamat yang diperintahkan dan didapati keluar makan di restoran Hanaz Cafe di Meru Raya.

Siasatan dijalankan oleh Pegawai Diberi Kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan mendapati wanita itu merupakan orang kena perintah pengawasan dan pemerintahan mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, bermula 4 hingga 18 Julai lalu.

Tertuduh berada di restoran itu pada 6 Julai lalu walaupun diperintahkan menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari United Kingdom pada 4 Julai lbagi membendung penularan COVID-19.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan