Images
  • football generic
    (Gambar hiasan: AFP)

Majlis Ulama Aceh sifatkan bola sepak "haram" bagi kaum wanita

JAKARTA: Belum sampai seminggu kejohanan Piala Dunia Wanita di Perancis berakhir, para ulama di Aceh berkata usaha untuk menghidupkan sukan bola sepak di Indonesia disifatkan sebagai ‘haram’ kecuali untuk kaum lelaki sahaja.

“Kami tidak menentang bola sepak wanita secara keseluruhannya, bagaimanapun jika kemudahan tidak lengkap, bola sepak wanita dianggap haram,” kata naib pengerusi badan ulama Islam di Aceh, Teungku Faisal Ali, pada Selasa (9 Jul).

Pihak berkuasa sukan Indonesia cuba menghidupkan sukan itu dalam kalangan kaum wanita bagi membentuk sebuah liga kebangsaan, namun Majlis Ulama Aceh (MPU) menyeru pemerintah supaya membatalkan rancangan itu disebabkan kekurangan kemudahan untuk perlawanan yang hanya disertai wanita sahaja.

Majlis itu turut menyatakan bahawa, sukan itu hanya dibenarkan jika wilayah itu mempunyai stadium khas di mana hanya terdapat para pemain, pegawai pertandingan dan penonton kaum wanita yang hadir.

“Kami menuntut liga bola sepak wanita ditangguhkan supaya pemain tidak mendapat tindak balas negatif dari penduduk Aceh,” katanya.

Di Aceh, sekitar 30 pemain wanita sudah menyertai ujian pemilihan dan sebuah pasukan akan dipilih untuk mewakili wilayah itu dalam liga kebangsaan.

Menurut pihak penganjur, para pemain sudah mematuhi peraturan-peraturan Syariah termasuk memakai jersi berlengan panjang dan bertudung. 

- AFP/NA/na

Top