Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Keselamatan PBB adakan sidang puncak bincang kesan pemanasan global

Majlis Keselamatan PBB adakan sidang puncak bincang kesan pemanasan global ke atas keamanan dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Keselamatan PBB adakan sidang puncak bincang kesan pemanasan global

Kawasan pengairan di Skoura, Maghribi diancam mengalami kekeringan. (Gambar: AFP/Fadel Senna)

Diterbitkan : 21 Feb 2021 06:55PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 06:59PM

LONDON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sidang puncak pemimpin dunia pada Selasa (23 Feb) untuk membahaskan kesan perubahan iklim ke atas keamanan dunia, satu isu yang mana 15 negara anggotanya berbeza pandangan.

Sesi itu, yang disarankan oleh Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan diadakan menerusi persidangan video, dibuat hanya beberapa hari selepas Amerika Syarikat, di bawah kepimpinan Presiden Joe Biden secara rasmi menyertai semula perjanjian perubahan iklim Paris.

Encik Johnson, yang negaranya kini merupakan presiden Majlis Keselamatan PBB akan berucap di forum itu, selain juga duta iklim Amerika John Kerry, Presiden Perancis Emmannuel Macron, Menteri Ehwal Luar China Wang Yi dan perdana menteri Ireland, Vietnam, Norway dan negara-negara lain, menurut para diplomat.

Mesyuarat itu akan menguji hubungan Amerika-China, menurut seorang duta PBB atas syarat identitinya tidak didedahkan.

"Kita perlu lihat di mana China meletak kedudukan mereka dengan Amerika," kata duta itu.

Secara tradisi, kata duta itu, "anda tahu bahawa Rusia dan China akan segera mengatakan (perubahan iklim) 'tiada kaitan dengan' isu-isu majlis keselamatan PBB".

Hari ini, bagaimanapun, "China lebih terbuka kepada perbincangan", yang "meninggalkan Rusia sendirian".

Rusia tidak melihat perubahan iklim sebagai satu isu meluas yang harus ditangani Majlis Keselamatan PBB.

Moscow lebih cenderung untuk menangani soalan-soalan mengenai perubahan iklim berdasar kes demi kes, kata seorang diplomat kepada AFP.

Mesyuarat Selasa ini "akan tertumpu kepada aspek keselamatan perubahan iklim", menurut seorang lagi duta.

Sebahagian negara bukan anggota tetap majlis itu, termasuk Kenya dan Niger dengan jelas sudah menyuarakan keprihatinan mereka tentang kesan perubahan iklim ke atas keselamatan negara.

Negara-negara lain pula tidak mahu "menjadikan Majlis Keselamatan sebagai satu lagi badan yang hanya melihat isu-isunya secara lebih meluas dari segi kewangan, penyesuaian, pengurangan dan rundingan," kata duta itu tadi.

KESAN KE ATAS KONFLIK

"Kedua-dua China dan Rusia, tetapi bukan hanya mereka, berat hati bagi Majlis Keselamatan membincangkan isu perubahan iklim dan kesan-kesannya," kata duta ketiga, yang menolak kemungkinan majlis itu mengeluarkan kenyataan bersama pada ketika ini.

"China dan Rusia berasa ini boleh mengganggu, bahawa ini bukan mengenai keamanan dan keselamatan," kata duta itu.

"Mereka tidak mahu Majlis Keselamatan itu membuat keputusan berhubung pilihan-pilihan ekonomi. Meskipun mereka faham perubahan iklim boleh menyebabkan konflik."

"Keadaan kawasan berubah menjadi gurun, pergerakan penduduk dan persaingan untuk mendapatkan akses kepada sumber" terkait dengan pemanasan global, kata seorang lagi diplomat.

Ini penting bagi Tunisia, Norway dan Ireland. Tunisia dan Norway sudah menyertai majlis itu sejak Januari.

Di daerah Lake Chad di tengah Afrika, masalahnya tidak harus dibiarkan "untuk hari esok. Ia sudah wujud semalam", kata seorang duta Afrika.

Beliau berkata isu mendapatkan air dan menyediakaan makanan haiwan boleh mencetus keganasan antara masyarakat yang berbeza dan menyebabkan kumpulan belia yang terbiar dan tidak berpuas hati mudah direkrut oleh kumpulan-kumpulan pengganas.

Dengan penyertaan pentadbiran Encik Biden, yang berikrar untuk menjadikan pemanasan global isu yang diutamakan - berbeza dengan pendekatan Encik Donald Trump, yang seringkali mempersoalkan sains di sebalik perubahan iklim - harus mengubah dinamik Majlis Keselamatan berhubung isu itu, menurut para diplomat.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan