Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahu sertai ISIS, Nur Afiqah menangis dalam kandang tertuduh setelah dijatuhi penjara 8 tahun

Seorang wanita dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini (24 Nov) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berniat ke Syria untuk melakukan perbuatan keganasan, tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahu sertai ISIS, Nur Afiqah menangis dalam kandang tertuduh setelah dijatuhi penjara 8 tahun

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 24 Nov 2017 08:51PM Dikemas Kini : 24 Nov 2017 08:57PM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini (24 Nov) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berniat ke Syria untuk melakukan perbuatan keganasan, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Afiqah Farhanah Che Samsudim, 26 tahun, dan memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 April 2017.

HIDUP PENUH PANCAROBA

Terdahulu, peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh benar-benar insaf dan menerima kesalahan itu sebagai balasan dan dia juga sudah bertaubat atas perbuatan itu.

"Tertuduh kehilangan bapa pada usia 17 tahun dan mula mengenali seorang lelaki yang kemudian menjadi kekasihnya namun pada 2014, kekasihnya itu meninggal dunia. Tertuduh sangat tertekan dan kerap menangis di kubur.

"Tertuduh kemudian berkahwin dengan adik kekasihnya namun hanya bertahan dua bulan kerana suaminya penagih dadah. Dia kemudian sambung pelajaran dalam kursus berkaitan perubatan,” kata Encik Hezri.

Peguam itu berkata akibat kurang matang dan tekanan hidup, tertuduh mula mendekati agama dan mengenali seorang lelaki yang berada di Syria melalui laman sosial di mana lelaki itu mengajaknya ke Syria untuk berkahwin dan tertuduh setuju.

"Akhirnya tertuduh tersedar bahawa dia telah terjebak ke dalam perjuangan sesat dan jihad palsu," terang Encik Hezri.

MUJUR DITAHAN DI SYRIA

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P.Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Encik Sofian dalam penghakimannya, berkata tertuduh bernasib baik kerana ditahan di sempadan Syria. Seandainya dia berjaya meloloskan diri, sudah pasti nasib tertuduh tidak diketahui.

"Jihad yang sebenar adalah pada diri sendiri dan keluarga, bagaimana untuk menjadi muslim sejati. Mahkamah bersimpati dengan perjalanan hidup tertuduh yang penuh liku dan ranjau sepanjang jalan namun pergi ke Syria bukan penyelesaian kepada masalah,”katanya.

Encik Sofian turut menasihati Nur Afiqah Farhanah, yang menangis dalam kandang tertuduh, supaya insaf dan kembali ke pangkuan ibunya selepas menjalani hukuman itu.

Wanita yang tidak bekerja itu didakwa dengan niat hendak pergi ke Syria, dengan berlepas dari Malaysia ke Singapura dan seterusnya ke Turki dengan tujuan untuk melakukan suatu perbuatan pengganas di Syria.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 5.51 petang, 29 Ogos 2016.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan didenda.

JUAL MYVI, INGIN MATI SYAHID

Berdasarkan fakta kes, untuk persiapan ke Syria, tertuduh menjual Perodua Myvi miliknya dengan harga RM5,000 (S$1,635) dan sebelum berangkat, tertuduh menulis surat kepada ibunya untuk memberitahu bahawa dia hendak berhijrah ke Syria serta ingin mati syahid.

Tertuduh tiba di Istanbul, Turki pada 30 Ogos 2016 dan tinggal di sana selama beberapa bulan sebelum ditangkap pada 9 Februari lalu di sempadan Turki dan Syria oleh pihak berkuasa Turki.

Pada 4 April 2017, tertuduh dihantar pulang ke Malaysia dan ditangkap anggota polis di KLIA. Semasa siasatan, tertuduh memberi kenyataan dia berniat ke Syria selepas mendapat arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan Ismail Hosain. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan