Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah tolak rayuan perbicaraan kes audit 1MDB Najib-Arul Kanda ditunda

Perbicaraan bersama Najib Razak dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, atas pertuduhan bersubahat mengubah Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bermula hari ini (18 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak rayuan perbicaraan kes audit 1MDB Najib-Arul Kanda ditunda

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Nov 2019 02:21PM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 02:30PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan bersama Najib Razak dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, atas pertuduhan bersubahat mengubah Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bermula hari ini (18 Nov). Ini selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mantan Perdana Menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian memerintahkan perbicaraan itu dimulakan.

Najib, dalam permohonannya bertarikh 13 November lalu, berkata jika perbicaraan itu diteruskan seperti yang dijadualkan, beliau akan mengalami prejudis. Ini kerana beliau dan peguamnya akan memerlukan satu tempoh masa yang munasabah dan secukupnya untuk menyiapkan pembelaannya bagi kes SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu kini bersiap untuk masuk pembelaan diri bagi kes melibatkan SRC International Sdn Bhd di mana beliau didakwa dengan tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta (S$13.7 juta) di Mahkamah Tinggi yang lain. Pembelaan Najib akan disambung pada 3 Disember ini.

Beliau menyatakan bahawa dalam permohonan itu, pasukan pembelaannya, pada masa yang sama, juga terlibat dalam penyediaan satu lagi kes 1MDB yang akan bermula pada 28 Ogos.

Permohonan Najib, bagaimanapun, dibantah oleh Arul Kanda, yang menggesa mahkamah agar melihat kepada kepentingan setiap individu tertuduh dan bukan kepada seorang tertuduh sahaja. Arul Kanda meminta mahkamah agar meneruskan perbicaraan kerana beliau mahu diberi peluang untuk menegakkan keadilan terhadap diri sendiri.

Mantan hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Syahirah Hanapiah manakala Arul Kanda, 43 tahun, diwakili oleh peguam N. Sivananthan, Jasmine Cheong serta Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan bagi kes melibatkan Najib dan Arul Kanda didengar bersama-sama.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. Ini dilakukan dengan cara mengarahkan pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Jika sabit kesalahan, pertuduhan ke atas Najib itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 (SS3,275) mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Arul Kanda, 43 tahun, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi mantan Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman sama. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan