Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah tolak permohonan Najib batalkan tuduhan pinda laporan 1MDB

Mahkamah Tinggi hari ini (14 Ogos) menolak permohonan Encik Najib Razak untuk membatalkan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak permohonan Najib batalkan tuduhan pinda laporan 1MDB

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 11:24AM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 11:26AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (14 Ogos) menolak permohonan Encik Najib Razak untuk membatalkan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan terhadap Encik Najib, 67, tidak mengelirukan seperti didakwa bekas perdana menteri Malaysia itu.

“Alasan-alasan diberikan oleh pemohon (Najib) sepatutnya hanya dipertimbangkan pada akhir kes pendakwaan. Masih terlalu awal untuk mahkamah menimbangkan alasan berkenaan (untuk membatalkan pertuduhan) pada peringkat ini," katanya.

Encik Najib, 67, memohon dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan meminda Laporan Audit 1MDB yang pertuduhan itu didakwanya tidak berasas dan bersifat menindas.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Encik Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 22 dan 26 Feb 2016.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 (S$3,270), yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Encik Arul Kanda, 44, dituduh bersubahat dengan Encik Najib membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi AP Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, pada masa dan di tempat sama, selaras Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan