Images
  • sajat
    (Gambar fail Bernama)

Mahkamah Syariah M'sia keluarkan waran tangkap Sajat

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya hari ini (23 Feb) tanpa sebarang sebab.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Peguam syarie Encik Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu mengesahkan perkara berkenaan dan berkata kes ditangguh sehingga 1 Jun depan.

“Saya pun tunggu dia datang, tetapi tiada. Dia diwajibkan hadir pada tarikh baru,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.

Selain Encik Zuri Zabuddin, usahawan kontroversi itu turut diwakili peguam syarie Encik Ahmad Nazib Johari, Cik Noor Azlina Che Hassan dan Cik Amirah Zainal.

Pada 6 Jan lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam pada 7.30 malam, 23 Feb 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 (S$1,638) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jadual asal, Muhammad Sajjad sepatutnya menghadapi sebutan semula kes tersebut pada 9.00 pagi tadi, namun hingga prosiding berakhir, kelibatnya tidak kelihatan. 

- BERNAMA/TQ/tq

Top