Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Rayuan Malaysia benar keluarga Altantuya dapatkan salinan kenyataan individu disiasat polis

Keluarga Altantuya Shaaribuu berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada Jumaat (24 Sep) untuk mendapatkan salinan kenyataan yang dirakamkan daripada individu disiasat polis dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, untuk digunakan dalam saman sivil mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan Malaysia benar keluarga Altantuya dapatkan salinan kenyataan individu disiasat polis

Mahkamah Rayuan Malaysia. (Gambar: Wikipedia)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 04:17PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 04:25PM

PUTRAJAYA: Keluarga Altantuya Shaaribuu berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada Jumaat (24 Sep) untuk mendapatkan salinan kenyataan yang dirakamkan daripada individu disiasat polis dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, untuk digunakan dalam saman sivil mereka.

Hakim Nor Bee Ariffin, yang mengetuai panel tiga hakim berkata kenyataan yang akan diserahkan kepada keluarga Altantuya termasuk kenyataan yang diambil daripada individu sama ada mereka dipanggil sebagai saksi pendakwaan, kenyataan dua bekas anggota polis, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

“Kami memerintahkan salinan kenyataan di bawah Seksyen 112 (Kanun Prosedur Jenayah) diberikan kepada perayu (keluarga Altantuya) dalam tempoh dua minggu dari tarikh perintah ini,” katanya.

Hakim Nor Bee berkata kenyataan polis yang digunakan dalam perbicaraan kes jenayah itu bukannya dokumen yang dilindungi.

Beliau berkata mahkamah tidak melihat bahaya mengganggu saksi dalam kes ini kerana kes jenayah Azilah dan Sirul Azhar telah lama diselesaikan. 

Panel itu turut dianggotai Hakim Supang Lian dan Hakim Mariana Yahya yang sebulat suara membenarkan rayuan oleh keluarga Altantuya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk memperoleh kenyataan yang dirakamkan daripada individu disiasat polis dalam kes jenayah itu untuk digunakan dalam saman sivil mereka.

Bapa dan ibu Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal memfailkan saman RM100 juta (S$32 juta) memfailkan saman sivil itu terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia pada 4 Jun 2007 untuk menuntut ganti rugi teladan dan teruk.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka menerima ganti rugi. 

Dalam keputusan mahkamah yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Nor Bee berkata Seksyen 124 Akta Keterangan 1950 berkaitan kenyataan yang tidak didedahkan, tidak terpakai dalam kes keluarga Altantuya.

Beliau berkata kenyataan Seksyen 112 itu perlu kerana maklumat yang terkandung dalam kenyataan itu akan membantu keluarga tersebut untuk meneruskan kes mereka bagi membuktikan pembunuhan itu.

Beliau berkata mahkamah harus sedar tentang realiti praktikal bahawa perubahan boleh berlaku sejak itu dan kemungkinan orang yang dirujuk tidak dapat dikesan atau ada yang mungkin telah meninggal dunia, tidak boleh dinafikan.

“Saksi mungkin enggan ditemu bual dan sebahagian lagi mungkin sukar untuk mengingati semula kejadian itu,” kata Hakim Nor Bee.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006 namun beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 susulan rayuan pendakwaan.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili keluarga itu manakala Peguam Kanan Persekutuan Azliza Ali bertindak bagi pihak kerajaan.

Sumber : Bernama/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan