Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Rayuan Malaysia batalkan saman peguam cabar kesahan pengampunan diraja Anwar Ibrahim

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa (21 Sep)membatalkan saman difailkan seorang peguam yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan Malaysia batalkan saman peguam cabar kesahan pengampunan diraja Anwar Ibrahim

Encik Anwar Ibrahim ketika diwawancara oleh REUTERS pada September 2020. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 21 Sep 2021 04:45PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 04:46PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa (21 Sep)membatalkan saman difailkan seorang peguam yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwatnya.

Semasa membatalkan saman oleh Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, mahkamah membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Has Zanah Mehat, Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Lee Heng Cheong memutuskan bahawa dakwaan Mohd Khairul Azam terhadap perayu jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Hakim Has Zanah yang mengetuai panel hakim itu berkata Mohd Khairul Azam tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan pengampunan atau nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan itu kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.

"Kami mendapati proses pengampunan dan pemberian pengampunan oleh Yang-di Pertuan Agong kepada perayu (Anwar) tidak dalam apa cara pun menyerang peribadi atau undang-undang atau sebarang hak atau kepentingan responden (Mohd Khairul)," katanya.

Beliau berkata keputusan dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak dapat diadili.

Kuasa pengampunan terdapat di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kata beliau dan menambah bahawa kuasa itu tidak terhad hanya kepada hukuman tetapi juga atas sabitan.

Beliau berkata mahkamah mendapati hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan apabila tidak mengikuti senarai kuasa mahkamah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim itu berkata mahkamah juga mendapati Lembaga Pengampunan dibentuk secara sah dan betul di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 21 Sep tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu selepas memutuskan Mohd Khairul Azam, mempunyai locus standi bagi memulakan saman itu kerana beliau adalah orang awam dan berkelayakan sebagai peguam.

Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan Mohd Khairul Azam tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Feb tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan