Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah M'sia tangguh perbicaraan terbesar 1MDB libatkan Najib Razak

Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$763 juta) dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) 

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah M'sia tangguh perbicaraan terbesar 1MDB libatkan Najib Razak

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 01:13PM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 01:15PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$763 juta) dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan (26 Ogos).

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini (19 Ogos), selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram - yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan - supaya perbicaraan itu ditangguhkan kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Encik Sri Ram berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Encik Najib, 66 tahun, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13 juta).

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB mantan perdana menteri itu.

URUTAN PERMOHONAN PENANGGUHAN KES

Pihak pendakwaan sudahpun memohon supaya perbicaraan itu ditangguhkan bagi kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC Encik Najib.

Pada 18 Julai, Hakim Justice Sequerah menolak notis usul pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Pada 8 Julai, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menangguhkan kes 1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga kes SRC diselesaikan.

Pada 30 April, pihak pendakwaan memfailkan usul pertama untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang ditetapkan selama 14 hari dari 15 April hingga 3 Mei. Hakim membenarkan permohonan itu dan menjadualkan semula kes berkenaan dari 14 Mei hingga 21 Jun.

Pada 2 Mei, pihak pendakwaan memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan. Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menjadualkan semula perbicaraan kepada 19 Ogos.

Pada 20 Sept 2018, Encik Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Encik Najib, yang diwakili sepasukan peguam diketuai Encik Muhammad Shafee Abdullah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan tersebut dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengenai empat pertuduhan rasuah, Encik Najib didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan