Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah India gesa pemerintah ambil tindakan sedang hospital rayu bantuan tangani COVID-19

Mahkamah India gesa pemerintah ambil tindakan sedang hospital rayu bantuan tangani COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah India gesa pemerintah ambil tindakan sedang hospital rayu bantuan tangani COVID-19

Mayat mangsa COVID-19 diusung ke kawasan pembakaran mayat di New Delhi, India.(Gambar: AP/Amit Sharma)

Diterbitkan : 02 May 2021 07:54PM Dikemas Kini : 02 May 2021 08:00PM

NEW DELHI: Dengan hospital-hospital di India bergelut untuk mendapatkan bekalan oksigen dan lebih ramai pesakit COVID-19 meninggal dunia di tengah-tengah masalah kekurangan bekalan itu, sebuah mahkamah di New Delhi menegaskan bahawa ia akan mula menjatuhkan hukuman ke atas pegawai pemerintah kerana gagal mendapatkan peralatan bagi menyelamatkan nyawa.

Hari ini (2 Mac), jumlah kes baru jangkitan di India kurang sedikit, dengan 392,488 dicatatkan berbanding 401,993 dalam tempoh 24 jam lalu.

ia juga melaporkan 3,689 kematian, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 215,542.

Para pakar percaya kedua-dua angka yang dicatat itu lebih rendah daripada jumlah sebenar.

Pemerintah India sudah mula menggunakan kereta api, angkatan udara dan tentera laut untuk segera menghantar bekalan-bekalan oksigen ke daerah-daerah yang paling teruk terjejas, di mana hospital-hospitalnya tidak berupaya menangani jumlah begitu tinggi pesakit. Keadaan seperti itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Seramai 12 pesakit COVID-19, termasuk seorang doktor, meninggal dunia semalam (1 Mei) di sebuah hospital di New Delhi setelah kekurangan bekalan oksigen selama 80 minit, kata Pengarah Hospital Batra, S C L Gupta.

Akhbar Times of India melaporkan lagi 16 kematian berlaku di dua hospital di selatan wilayah Andhra Pradesh dan enam di hospital Gurgaon di luar bandar New Delhi kerana kekurangan bekalan oksigen.

Dengan pemerintah negara itu gagal mengekalkan bekalan oksigen secara tetap, beberapa pihak berkuasa hospital merayu agar mahkamah campur tangan di ibu kota India itu, di mana perintah berkurung sudah dilanjutkan seminggu untuk membendung gelombang jangkitan baru.

"Cukup sudah cukup," tegas Mahkamah Tinggi Delhi, sambil menambah ia akan mula menghukum pegawai pemerintah jika bekalan oksigen yang diperuntukkan ke hospital tidak diterima.

"Kita tidak boleh membiarkan orang mati," tegas Hakim Vipin Sanghi dan Rekha Patil.

Mahkamah menyatakan ia akan memulakan prosiding untuk memastikan pematuhan.

New Delhi mencatat 412 kes kematian dalam tempoh 24 jam lalu, paling tinggi sejak pandemik itu bermula.

Pihak tentera India pula membuka hospital-hospitalnya kepada masyarakat umum dalam usaha untuk mengawal krisis kemanusiaan besar-besaran di sana.

Pemerintah Perdana Menteri India, Narendra Modi, juga memberi kuasa kecemasan kewangan kepada tentera untuk menubuhkan kemudahan-kemudahan kuarantin dan hospital serta membeli peralatan baru.

Tentera juga sudah memanggil balik 600 doktor yang sudah bersara dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Tentera udara pula mengerahkan 200 penolong jururawat ke hospital-hospital awam, menurut kenyataan pemerintah.

Hari ini, India menyatakan semua orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas boleh mendapatkan vaksinasi.

Sejak Januari lalu, hampir 10 peratus rakyat India sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan tetapi hanya 1.5 peratus sudah menerima kedua-dua dos. Ini, meskipun negara itu merupakan pengeluar terbesar vaksin.

India sejauh ini sudah memberikan lebih 156 juta dos vaksin kepada negara lain.

Sebahagian wilayah di negara itu menyatakan mereka tidak mempunyai vaksin mencukupi untuk semua orang dan usaha untuk memberikan vaksin kepada rakyat berusia 45 tahun ke atas tersekat-sekat.

Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan beberapa negara lain sedang berusaha untuk segera menghantar bekalan terapeutik, ujian pantas virus dan oksigen ke India, di samping bahan-bahan yang diperlukan negara itu untuk mempercepat pengeluaran vaksin COVID-19.

Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan