Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah benarkan Rosmah Mansor periksa barang yang dirampas SPRM

Isteri bekas Perdana Menteri Cik Rosmah Mansor boleh memeriksa secara fizikal barang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah benarkan Rosmah Mansor periksa barang yang dirampas SPRM

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 11 Mar 2020 10:34PM Dikemas Kini : 11 Mar 2020 10:37PM

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri Cik Rosmah Mansor boleh memeriksa secara fizikal barang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun mengenakan syarat bahawa pemeriksaan itu perlu dilakukan di premis yang ditetapkan dan hanya Cik Rosmah serta seorang peguam dibenarkan berbuat demikian di bawah pengawasan pendakwa raya yang dinamakan sebagai responden.

Mahkamah juga memerintahkan supaya ia dilakukan hanya sekali dalam tempoh 30 hari mulai hari ini dan Cik Rosmah perlu memfailkan afidavit, jika perlu, dalam tempoh dua minggu dari tarikh pemeriksaan.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata permohonan itu dibenarkan atas prinsip keadilan asasi hak pemohon untuk menyediakan afidavit berkaitan kes di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang dihadapi Cik Rosmah.

“Adalah sukar untuk membuat pengecaman hanya daripada gambar. Persoalan mengenai keselamatan, integriti dan praktikaliti bukan isu,” kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berhujah bahawa pihaknya sudah menyediakan gambar barang terbabit yang berkualiti, oleh itu, Cik Rosmah tidak perlu melakukan pemeriksaan secara fizikal.

Mahkamah kemudian meminta peguam Iskandar Shah Ibrahim untuk melihat gambar itu namun beliau berkata tindakan tersebut tidak mencukupi dan memerlukan pemeriksaan dari beberapa sudut lain.

“Gambar yang ditunjukkan ini tidak membantu pemohon kerana beliau perlu membuat pengecaman secara fizikal bagi menyediakan afidavit,” katanya.

Sebelum itu, mahkamah sama menangguhkan sehingga 25 Mac ini pendengaran permohonan Encik Najib Razak untuk melakukan pemeriksaan secara fizikal ke atas harta yang disita dari premis milik Obyu Holdings.

Harta yang disita dari premis milik Obyu Holdings bernilai RM680 juta (S$223 juta) itu didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah lebih RM114 juta.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki Obyu Holdings selain sebuah hartanah di daerah Kuala Lumpur yang turut disita pada 1 Nov 2018.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun Encik Najib, Cik Rosmah dan firma barang kemas, Global Royalty selaku pihak ketiga memohon untuk mendapatkan gambar serta membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta tersebut.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan